selfp

DATUK Dr. Christopher Lee asalnya bercita-cita mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang penyakit jantung agar boleh bergelar pakar kardiologi suatu hari nanti. Itu yang berada dibenaknya setelah tamat pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya.

Namun segalanya berubah bila beliau pulang ke semenanjung setelah tiga tahun berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Sarawak.

Suatu hari ketika bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL), seorang pesakit yang dijangkiti virus HIV telah dirujuk kepadanya. Ketika itu beliau langsung tidak dimakumkan yang pesakit tersebut membawa kuman yang cukup berbahaya itu.

Namun selepas itu, bila ada sahaja pesakit yang dijangkiti virus yang sama, mereka akan dirujuk kepadanya dan di situlah segalanya bermula.

Beliau kemudiannya dihantar melanjutkan pelajaran dalam bidang penyakit berjangkit termasuk menjalani latihan di salah sebuah hospital di Edinburgh, Scotland. Selepas pulang ke tanah air, beliau bertugas sebagai pakar penyakit berjangkit di HKL dan kemudiannya mengetuai unit yang sama di Hospital Sungai Buloh.

Beliau pernah mendedahkan kepada akhbar Malay Mail ketika awal-awal bertugas sebagai pakar dalam bidang tersebut, hanya terdapat beberapa orang doktor yang mahir mengendalikan kes penyakit berjangkit terutama HIV/AIDS dan dia adalah salah seorang daripada mereka.

Katanya, walaupun mampu beroleh pendapatan lumayan jika beliau menyertai hospital swasta, Dr. Christopher nekad untuk terus kekal sebagai doktor kerajaan.

Ini kerana baginya, melihat kejayaan negara menangani penyebaran penyakit berbahaya secara tidak langsung telah memberikan kepuasan kepadanya berbanding pulangan dari segi wang ringgit.

Beliau pernah ditanya dalam satu temubual media mengenai apakah rahsianya dalam merawat pesakit HIV/IADS. Kata Christopher, beliau tidak pernah menghukum pesakit-pesakitnya.

“Kenapa perlu timbul perasaan stigma sedangkan setiap manusia membuat dosa. Sebagai contoh, kalau masuk kerja lewat, ia sudah dosa, menipu itu pun dosa. Jadi, kenapa kita perlu menghukum orang ini walhal setiap manusia membuat dosa cuma cara kita melakukan dosa itu berbeza.

“Mereka juga seperti kita, kalau mahu dibandingkan kesalahan yang kita lakukan setiap daripada kita tidak pernah terkecuali daripada membuat kesilapan. Oleh itu, janganlah kita menghukum mereka,” tegasnya.

Berbicara lanjut mengenai perkara itu, Christopher berkata, beliau menerima kesemua pesakit dengan seadanya.

“Saya terima mereka. Tidak wujud sebarang diskriminasi antara saya dengan pesakit. Kalau diikutkan sangat dengan stigma, saya juga boleh membuka sebuah klinik dan meletakkan papan tanda ‘Hanya merawat pesakit tidak berdosa’,” katanya berseloroh.

Akui beliau, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat pesakit yang dirawatnya dapat hidup lebih lama. Meskipun ramai yang sudah meninggal dunia namun, ramai antara mereka yang mempunyai kehidupan baru di samping keluarga mereka.

Untuk rekod, Dr. Christopher juga adalah penerima ‘Special Award for Community Service’ (2002) daripada United Nations, ‘Special Red Ribbon Award for Exemplary Service in HIV/AIDS’ (2002) dan ‘Dr Siti Hasmah Red Ribbon Award’ (1998) daripada Malaysia AIDS Council.

Selepas 34 tahun bertugas dengan Kementerian Kesihatan, Dr. Christopher bersara pada Januari lalu dengan jawatan terakhirnya ialah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal).

Namun penyebaran virus Covid-19 yang melanda bagaikan memanggil-manggil dirinya untuk kembali menyarung ‘jubah putih’ dan menyumbang bakti kepada negaranya yang tercinta.

Walaupun boleh bersenang lenang di rumah ‘menikmati’ duit pencen, Dr. Christopher akhirnya membuat keputusan untuk meneruskan perjuangan bersama-sama barisan hadapan Kementerian Kesihatan bagi melawan penyebaran virus berbahaya tersebut.

Kepulangannya semula ke KMM bagaikan ‘orang mengantuk disorongkan bantal’. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah tidak menunggu lama untuk mengucapkan penghargaan kepada Dr. Christopher dalam Facebook beliau baru-baru ini.

“Terima kasih diucapkan kepada YBhg Datuk Dr Chris yang sudi membantu walaupun telah bersara daripada perkhidmatan awam pada bulan Januari lalu,” kata Dr. Noor Hisham.

Kini tugas berat menanti Dr. Christopher.

Melalui keputusan Mesyuarat Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Dr. Noor Hisham, satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi menjalankan audit terhadap kematian pesakit-pesakit COVID-19 di hospital.

Jawatankuasa ini akan diketuai oleh Dr. Christopher atas kapasitinya sebagai Pakar Perunding Penyakit Berjangkit dan Mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan.

Dr. Christopher bagaimanapun tidak akan bersendirian memikul tanggungjawab ini. Beliau akan dibantu oleh ahli-ahli daripada pakar-pakar pelbagai disiplin yang berkaitan.

Melalui jawatankuasa ini, setiap butiran pengurusan dan rawatan yang telah diberikan kepada setiap kes kematian COVID-19 akan diteliti oleh pakar-pakar berkenaan.

Hasil analisa ke atas maklumat ini diharap dapat membantu di dalam pengurusan pesakit-pesakit COVID-19.

Kita terhutang budi di atas kesanggupan pakar perubatan ini untuk kembali menggendong tugas yang cukup berat ini.

Selamat kembali bertugas untuk negara Dr. Christopher, andalah antara wira kami yang sebenarnya! – Malaysia Gazette.