Jadon Sancho

LONDON – Pemain muda Borussia Dortmund, Jadon Sancho dilaporkan semakin hampir untuk menyertai Manchester United dan dia dikatakan telah memilih nombor jersinya.

Pemain sayap England itu dikatakan akan meninggalkan Dortmund pada musim panas ini.

Ketika ini beberapa kelab besar di Eropah memburu khidmat pemain ini yang telah menunjukan aksi cemerlang bersama Die Borussen dalam dua musim terakhir.

Daripada kelab-kelab yang dikaitkan dengan Sancho, nama United adalah kelab yang sering dikaitkan sebagai destinasi baharu pemain berusia 19 tahun itu.

Red Devils dilaporkan sangat serius untuk membawa pemain sayap ini ke Old Trafford sejak musim panas lalu.

Manchester Evening News melaporkan peluang Sancho untuk menyertai United lebih besar kerana pemain sayap itu telah mula memilih nombor untuknya di Old Trafford.

Menurut laporan itu Sancho dikatakan telah menempah nombor jersi keramat ‘tujuh’ untuk musim depan.

Dia sendiri dilaporkan mempunyai sebab tertentu mengapa dia memilih nombor tujuh di Manchester United.

Sancho dikatakan mengidamkan untuk jersi keramat itu kerana mahu mengikuti jejak-jejak pemain Red Devils yang terbaik dengan memakai seragam itu.

Bukan itu sahaja, dia juga berasa selesa dengan nombor tujuh kerana menggunakan nombor yang sama di Dortmund.

United kini sedang berusaha menyelesaikan perpindahan Sancho yang akan ditebus dengan nilai perpindahan sekitar 120 juta Euro. – MalaysiaGazette