Permandangan udara semasa anggota PDRM dan ATM melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 APRIL 2020

PETALING JAYA – Memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini, nampaknya masih ramai yang tidak dapat membezakan yang mana satu keperluan penting dan sebaliknya.

MalaysiaGazette hari ini membuat tinjauan di dua lokasi sekatan jalan raya dilakukan oleh pihak berkuasa iaitu di Lebuh Raya Persekutuan dan Tol Kota Damansara.

Kota Damansara termasuk kawasan Sri Petaling yang merupakan antara zon merah Covid-19.

Meskipun langkah pemantauan diperketatkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) namun ternyata ada kalangan warga kita gagal mendisiplinkan diri dan enggan mematuhi PKP demi membendung penularan wabak Covid-19.

Antara alasan yang diutarakan sebentar tadi adalah mahu mengambil televisyen di tol Gombak yang dibeli seorang lelaki menerusi dalam talian.

“Saya mahu ke tol Gombak encik, ambil TV, saya beli TV orang tu suruh ambil di tol Gombak,” katanya kepada anggota polis ketika ditanya sebab keluar rumah dalam tempoh PKP.

Bagaimanapun alasan beliau ditolak dan lelaki tersebut diarahkan untuk membuat pusingan U dan balik ke kediamannya di Kota Damansara.

Anggota polis bertanyakan destinasi pemandu ketika sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 APRIL 2020

Seorang lagi lelaki, memaklumkan polis tujuannya keluar rumah bersama dengan ibunya adalah untuk pergi ke kebunnya di Sungai Buloh.

Gagal mematuhi peraturan yang menetapkan hanya seorang sahaja dibenarkan keluar, lelaki yang mendakwa mahu menguruskan kebun bersama ibunya itu juga diarahkan polis untuk kembali ke rumahnya.

Beliau akur dengan arahan itu dan kemudian kelihatan keluar semula ketika ditemui sekali lagi ketika sekatan yang sama, namun kali ini seorang diri.

Semasa kami meninjau sekatan di Lebuhraya Persekutuan pula, alasan yang paling remeh adalah keluar untuk berjumpa kawan di Sunway.

Ada juga yang sanggup menempuh kesesakan berjam-jam hanya untuk ke pasar tani di Petaling Jaya, meskipun rumah lelaki tersebut di Kuala Lumpur.

Namun untuk urusan berkaitan mendapatkan rawatan perubatan,  pihak polis masih bertoleransi sebagai contoh, membawa isteri dan anak yang baru dilahirkan untuk pemeriksaan kesihatan secara berkala, mendapatkan ubat dari hospital kerajaan serta rawatan susulan.

Kerajaan mengambil keputusan untuk lebih tegas semasa fasa kedua PKP ini demi memastikan rangkaian jangkitan Covid-19 dapat dihentikan.

Justeru kerajaan telah menegaskan bahawa hanya satu orang sahaja dalam kenderaan dibenarkan berada di jalan raya buat masa sekarang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast