KUALA LUMPUR – Pelbagai ragam dan karenah orang awam antara cabaran yang perlu dilalui oleh anggota keselamatan yang bertugas sebagai barisan hadapan negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Itu antara pengalaman pemain tengah PDRM FA, Muhammad Hariz Irffan yang kini bertugas sebagai anggota keselamatan polis trafik tatkala pemain-pemain lain berada di rumah bersama keluarga tersayang dalam tempoh yang sukar ini.

Hariz antara 14 pemain PDRM yang menyahut panggilan kerajaan untuk bertugas selaku anggota keselamatan di mana dia ketika ini ditugaskan di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ampang Jaya yang turut sama bertanggungjawab melakukan sekatan jalan raya dan rondaan Covid-19.

Sudah pasti, bergelar seorang pemain dan anggota keselamatan tidak mudah apatah lagi pada saat getir ini selain turut mengakui cabaran sebenar berdepan karenah orang awam yang keluar tanpa hala tuju walaupun Perintah Kawalan Pergerakan telah dilaksanakan.

“Saya sekarang ini rehat pun tidak cukup, kadang-kadang balik rumah sempat makan sekejap, mandi dan terus tertidur sebelum sambung bekerja keesokan harinya.

“Kadang-kadang saya kena bertugas untuk 24 jam dan kadang-kadang untuk 12 jam, jadi memang tidak menentu waktu kerja kami di sini.

“Kalau buat sekatan jalan raya, memang macam macam alasan yang kami terima dan ada yang tidak masuk akal, tetapi kami harus bertegas dalam melaksanakan tugas kerana ini demi keselamatan semua pihak.

“Saya harap semua pihak mendoakan yang terbaik kerana sudah pasti saya sendiri pun rindu untuk beraksi bersama pasukan di padang,” katanya.

Rakan sepasukan yang merupakan kapten PDRM, Mohd Safiee Ahmad juga tidak ketinggalan turut sama berkhidmat untuk negara sebagai anggota keselamatan sambil menyifatkan mereka ketika ini terpaksa berkorban apabila lebih terdedah kepada persekitaran luar.

Justeru, dia mengharapkan dirinya dan rakan sepasukan lain dapat kembali bersama pasukan selepas ini dalam keadaan sihat sejahtera untuk terus membantu pasukan bersaing dalam CIMB Liga Super 2020 sebaik sahaja saingan kembali bersambung.

“Saya kini bertugas di bahagian Kuala Lumpur dan pertama kali saya dapat lihat sekitar ibu kota tidak sibuk seperti biasa walaupun masih ada segelintir yang melanggar perintah.

“Kami memang lebih mudah terdedah kepada bahaya tetapi tugas tetap perlu dilaksanakan dan harap dapat segera kembali ke padang kerana kami semua juga rindu untuk beraksi,” jelasnya.

PDRM ketika ini agak bergelut apabila berada di tangga tercorot liga dan masih belum meraih sebarang kemenangan selepas mengalami tiga kekalahan dan satu seri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast