Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 bagi menangani Covid-19 Fasa Kedua yang membabitkan peruntukan berjumlah RM272.5 juta.
Amirudin berkata, dalam pakej kedua itu, Kerajaan Negeri akan mewujudkan Tabung Khas Bantuan Covid-19, bermula dengan potongan gaji Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Negeri serta pegawai anak-anak syarikat kerajaan negeri yang mencecah RM8.07 juta.
“Untuk Menteri Besar dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, potongan gaji mereka sehingga 50 peratus.
Manakala Ahli Dewan Negeri pula 30 peratus. “Bagi pegawai-pegawai gred Jusa C ke atas dan anak-anak syarikat kerajaan negeri pula potongan gaji sebanyak 30 peratus,” katanya dalam perutusan khas Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di kediaman Menteri Besar Selangor, di di sini, hari ini.