Ashraf-Badhrul

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin kerajaan khususnya ahli-ahli politik diingatkan jangan sesekali mengambil kesempatan dalam waktu ini untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang bersifat gimik yang tidak membawa manfaat kepada negara.

Peringatan itu dikeluarkan oleh Angkatan Pemuda-Pemudi Berjasa (Angkasa) susulan tindakan beberapa pemimpin politik yang terlibat dalam operasi disinfeksi yang didakwa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mengikut standard prosedur operasi yang betul.

Ketua Penerangannya, Asyraf Badrul berkata, walaupun tidak dinyatakan secara khusus tetapi aktiviti dan operasi yang menjadi tular itu membabitkan kerja-kerja disinfeksi bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan juga demonstrasi penggunaan dron bagi tujuan sanitasi bandar raya yang dikongsikan oleh Menteri Wilayah, Datuk Seri Annuar Musa di laman Twitter beliau.

Lantaran itu, beliau menggesa supaya mana-mana pihak sama ada di peringkat kementerian atau mana-mana agensi di bawahnya yang terlibat secara langsung dalam menangani Covid-19 perlu mematuhi prosedur piawaian operasi yang digariskan oleh KKM.

Ia supaya sebarang usaha dan sumber yang digunakan benar-benar membawa manfaat bagi menghapuskan rantaian wabak Covid-19 dan tidak menjadi satu pembaziran ketika situasi getir ini.

Haruslah diingat, rakyat sedang meneliti dengan rapat tindak-tanduk kepimpinan baharu negara dan sebarang salah laku akan diterjemah dalam bentuk protes rakyat di kertas undi, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast