Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberikan beberapa cadangan seandainya hasil tidak seperti yang diharapkan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan.

“Senario tersebut pastinya melumpuhkan ekonomi dan kerajaan tidak mampu untuk mengeluarkan lebih banyak bantuan besar seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Mungkin perlu dipertimbangkan langkah Korea Selatan, Singapura atau kaedah kita sendiri yang tidak menjerut kehidupan rakyat.

“Mana-mana daerah yang dianggap bersih dibenarkan kelonggaran di dalam daerah mereka sendiri. Kemudian dikembangkan kepada negeri-negeri sebelum diperluaskan seluruh negara. Kes seperti di Sungai Lui boleh dibuat dengan hanya menutup kawasan itu,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Menurut Ahmad Shabery, ekonomi yang terhenti perlu diberi nafas kembali dan semuanya perlu pengurusan rapi dan pendekatan yang ‘detail’ malah pada masa ini data paling penting dan keputusan mesti berasaskan data.

Bagaimanapun beliau berharap graf bilangan mereka yang dijangkiti Covid-19 selepas 14 April depan menurun dan keadaan negara kembali normal.- MalaysiaGazette