Diantara AJK Bertindak Blok F&G dan penyewa yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya Blok F&G, Presint 11, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 APRIL 2020

PUTRAJAYA – Lebih 200 keluarga di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya yang terdiri daripada penyewa golongan B40 mengakui mereka terpaksa mengikat perut masing-masing sekiranya pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) tetap melaksanakan arahan bayaran sewa bulanan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Sabri Yusoff, 52, lebih 70 peratus penyewa di sini kini menghadapi masalah kewangan kerana tidak dapat bekerja.

Ia memberikan kesan ekonomi kepada penduduk yang rata-ratanya adalah peniaga kecil.

“Walaupun saya sewa dan dipotong melalui syarikat tapi kalau tidak dikecualikan macam DBKL dan Labuan, terasa juga.

“Anak saya enam orang, memang terkesan. Jadi harap kerajaan prihatin kepada penduduk di sini. Lebih 70 peratus penduduk sini adalah terdiri daripada golongan pendapatan rendah termasuk ibu tunggal.

“Terpaksa kami ikat perut, ramai lagi yang anak ramai,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Diantara penyewa yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya Blok F&G, Presint 11, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 APRIL 2020

Awal hari ini, MalaysiaGazette melaporan penyewa perumahan awam milik Perbadanan Putrajaya kecewa dengan tindakan PPj yang didakwa terus mengenakan sewa dan tidak memperdulikan rayuan mereka yang dikemukakan menerusi satu memorandum.

Wakil penduduk di blok F dan G dalam sepucuk surat kepada MalaysiaGazette mendakwa semua penyewa Pangsapuri PPj Presint 11 telah menerima pesanan ringkas kelmarin menuntut mereka menjelaskan sewaan sebelum 7 haribulan April ini.

Ketua Ahli Jawatankuasa Bertindak Blok F dan G kawasan itu, Othman Ahmad pula berkata, pihaknya rasa seperti dipinggirkan apabila Kementerian Wilayah Persekutuan tidak mengenakan arahan sama kepada penyewa di perumahan DBKL dan Labuan.

“Kami terfikir kenapa pula kami kena bayar sewa sedangkan DBKL dan Labuan tidak perlu bayar sewa.

“Kami rasa tertekan sebab semua orang sudah dapat notis yang menyatakan sewa harus dibayar pada 7 haribulan kalau tidak air akan dipotong.

“Bila kita dapat notis itu, kita bingung kerana belum ada respon lagi padahal Isnin ini sudah 6 haribulan. Kita ada dua hari lagi untuk bayar,” katanya.

 

Ketua AJK Bertindak Blok F&G, Othman Ahmad bercakap ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya Blok F&G, Presint 11, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 APRIL 2020

Difahamkan kadar sewaan di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya adalah sebanyak RM502 sebulan dan bayaran penyelenggaraan sebanyak RM100 turut dikenakan kepada penyewa.

Menurut Muhd Huzir Md Dam, 32, sekiranya mereka membayar sewa maka perbelanjaan ketika pelaksanaan PKP juga akan terjejas dek kerana kesempitan wang.

Ujarnya lagi, jika tidak mendapat pengecualian penuh, mereka amat berharap agar PPj bertimbang rasa dengan keadaan mereka kini.

“Kami tidak mampu nak bayar sewa sebelum 7 haribulan.

“Kami minta hak sama rata atau pengurangan kadar sewa. Kita minta pengurangan bukan sebab di DBKL dan Labuan sahaja yang terima akibat daripada PKP ini, kami juga terkesan terutama peniaga kecil. Sehingga hari ini tidak ada apa makluman daripada pihak PPj,” jelas Huzir.

Penghuni, Muhd Huzir Md Dam bercakap ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya Blok F&G, Presint 11, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 APRIL 2020

Malah bagi seorang ibu tunggal, Zubaidah Nahu, 53, arahan yang diberikan pada 1 April lalu telah memberikan beban kepada dirinya selaku ketua keluarga.

Ujar Zubaidah, pendapatannya terjejas apabila perniagaan di sebuah gerai di Kementerian Wilayah terpaksa ditutup dan ini menjejaskan pendapatannya yang menyara dua anak kelainan upaya (OKU).

“Sekarang saya berharap kepada anak sahaja seorang untuk bayar sewa rumah.

“Arahan untuk kami bayar sewa amat beban buat kami. Dengan duit gaji yang tidak mencukupi, makanan pula mahal sekarang.

“Selama ini kami tidak tersepit macam ini, jadi kami terbeban dengan isu ini. Ada juga bantuan tapi tidak cukup untuk kami sekeluarga,” demikan menurut Zubaidah.

Penyewa, Zubaidah Nahu bercakap ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya Blok F&G, Presint 11, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 APRIL 2020

Noor Hasni Abu Hassan, 70, turut meminta agar PPj memberikan kelonggaran sama kepada penyewa disini.

Ujarnya, sebagai pesara, beliau tidak mampu untuk melunaskan bayaran sewa kerana pendapatan lain turut terjejas ekoran PKP.

“Saya ada penyakit kronik dan asyik ulang alik hospital. Saya pesara cuma berpendapatan RM1,141, kalau sewa rumah sudah RM502 sebulan apa yang tinggal untuk kamu waktu PKP.

“Kalau dapat pengecualian selama enam bulan bayaran sewa tu alhamdulillah. Senang hati saya, ringan sikit beban saya. Kalau kawasan DBKL dan Labuan boleh bagi percuma selama enam bulan kenapa di Putrajaya tidak boleh beri percuma.

“Kalau boleh sama rata semua tempat. Boleh ringankan bebanan kami, ada lebih pendapatan untuk belanja masa PKP,” jelas Noor Hasni. – MalaysiaGazette

Penyewa pangsapuri kecewa PPj, kementerian tidak prihatin nasib mereka

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast