Diantara AJK Bertindak Blok F&G dan penyewa yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya Blok F&G, Presint 11, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Penjelasan Perbadanan Putrajaya (PPj) bahawa bantuan pengecualian sewa premis di Pangsapuri Perbandaran Putrajaya tidak wajar diberi sama rata kepada penyewa pangsapuri milik perbadanan itu sukar diterima penduduk yang terbabit.

Malah Ketua Ahli Jawatankuasa Bertindak Blok F dan G, Othman Ahmad mendakwa  maklum balas dari PPj itu banyak berlaku percanggahan fakta semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, PPj dalam penjelasannya semalam memberitahu telah dan sedang menyalurkan bantuan berbentuk sumbangan pek makanan dan bantuan-bantuan di bawah Bantuan Prihatin Nasional dan Inisiatif Wilayah Cakna.

Namun, menurut Othman, tiada seorang pun penduduk di Blok F dan G menerima bantuan tersebut termasuk pengecualian sewa atau mana-mana bantuan daripada kerajaan Perikatan Nasional.

“Bantuan tidaklah wajar diberi sama rata kepada penyewa-penyewa disebabkan terdapat golongan T20 yang dinyatakan PPj adalah sangat tidak relevan kerana golongan ini hanya  7 peratus daripada jumlah penyewa Blok F dan G ini.

“Siapakah mereka daripada golongan T20 ini yang menyebabkan kami tidak layak menerima bantuan pengurangan/pengecualian sewa rumah ini?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam lebih 200 penyewa pangsapuri Perbandaran Putrajaya mengeluh dengan arahan supaya mereka membayar kadar sewaan RM502 sebulan.

Menurut mereka, sekiranya arahan itu dilaksanakan mereka terpaksa mengikat perut kerana menghadapi masalah kewangan kerana tidak dibenarkan bekerja dan menjalankan perniagaan masing-masing.

Artikel berkaitan: Kami terpaksa ikat perut jika PPj arah bayar sewa

Suasana lengang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Pangsapuri Perbadanan Putrajaya Blok F&G, Presint 11, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 05 APRIL 2020

Mengulas lanjut Othman berkata, keadan mereka sama dengan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Awam (PA) di Labuan dan penyewa di Kuala Lumpur.

Tetapi, katanya, penghuni berkenaan mendapat keistimewaan enam  bulan tanpa perlu bayar sewa bulanan, walhal mereka semua turut mendapat bantuan yang diumumkan oleh kerajaan.

“Bantuan Prihatin Nasional yang diterima oleh 93 peratus penghuni Blok F dan G ini adalah untuk survival kami menghadapi musim PKP Covid-19 ini. PKP ini mungkin boleh berlarutan memandangkan semua bank di Malaysia memberikan pelepasan/penangguhan bayaran selama 6 bulan.

PKP ini sangat memberi kesan kepada kami kerana ramai yang hilang punca pendapatan. Malah empunya rumah sewa persendirian juga turut memberikan pengecualian sewa terhadap penyewa-penyewa mereka. Adakah PPj lebih kejam?” kata wakil penduduk itu.

Othman turut meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menggunakan peruntukan yang diwartakan dalam Akta Perbadanan 1995 seperti dalam perenggan 9 iaitu memberikan kuasa kepada Menteri untuk memberi directive kepada Presiden terhadap dasar semasa kerajaan persekutuan.

Artikel berkaitan: Bukan semua penyewa kuarters PPj layak diberi pengecualian

Sebelum ini Kementerian Wilayah Persekutuan berkata seramai 40,000 penyewa rumah PPR dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan dikecualikan daripada membayar sewa bulan ini manakala bayaran bagi April dan Mei ditangguhkan ekoran arahan PKP oleh kerajaan. – -MalaysiaGazette