SHAH ALAM – Jumlah tangkapan individu yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi fasa kedua di Selangor meningkat sebanyak 513 kes setakat hari ini berbanding fasa pertama.
Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd. Ismail Muslim berkata, perbandingan itu dibuat bagi lima hari pertama pelaksanaan PKP itu susulan ketegasan pihak polis.
“Perbandingan statistik Ops Covid-19 iaitu lima hari pertama PKP Fasa pertama dari 18 Mac hingga 22 Mac, seramai 3 orang ditahan.
“Manakala bagi PKP Fasa Kedua dalam tempoh sama bermula 1 April hingga 5 April 2020, sebanyak 513 tangkapan dibuat. Peningkatan ketara ini adalah hasil tindakan tegas pihak polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Ismail berkata, kebanyakan tangkapan kerana ingkar PKP yang dibuat adalah melibatkan golongan remaja.
“Tangkapan terbesar kerana mereka yang melakukan kes jenayah termasuklah samun, pecah rumah, kumpulan haram, dadah dan kelompok yang berjoging di pusat rekreasi.
“Kita lipat gandakan pasukan pemeriksaan mengejut dengan membuat rondaan di kawasan perumahan dan kawasan berkepadatan tinggi seperti perumahan flat dan kondominium,” katanya lagi. – MalaysiaGazette