Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Harga telur ayam telah mengalami kenaikan sebanyak lima hingga tujuh sen sebiji ekoran kenaikan harga makanan ternakan.

Pengerusi Unit Telur Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak, Li Yoon Yean bagaimanapun menegaskan bekalan telur dalam pasaran adalah cukup seperti biasa.

Beliau juga menafikan dakwaan berlaku wabak dalam kalangan ayam yang menjejaskan bekalan.

“Makanan ternakan ayam adalah diimport seratus peratus dari luar negara.

“75 peratus bahan mentah iaitu jagung dan kacang soya adalah berasal dari Argentina dan Brazil dengan transaksi dijalankan dalam dolar Amerika Syarikat,” katanya kepada China Press.

Katanya, harga ladang untuk telur gred A, B dan C pada masa ini adalah masing-masing 37 sen, 36 sen dan 34 sen.

Sambil menegaskan bekalan mencukupi, Run Yao turut menafikan berita palsu mengenai berlaku selesema burung yang menjejaskan pengeluaran dan menyebabkan kenaikan harga.

“Adalah biasa kalau berlaku ayam yang sakit dan kami akan menyingkirkan ayam yang tua dan sakit secara berkala untuk memastikan kualiti produk,” katanya.

Menurutnya, bekalan telur Malaysia adalah mencukupi, malahan boleh dieksport ke luar negara.

Katanya, harga jualan mungkin lebih mahal kerana peranan orang tengah.

Jelasnya, disebabkan pembelian lebih banyak oleh pengguna dan isu logistik dalam tempoh kawalan pergerakan, maka kawasan yang berjauhan dengan ladang ternakan mungkin lambat untuk menerima bekalan.

“Kami masih menghantar bekalan seperi biasa. Cuma bagi negeri seperti Terengganu yang berjauhan dengan ladang ternakan, kami mungkin tidak sempat melakukan penghantaran secara segera,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast