PUTRAJAYA – Sebelum ini wujud kebimbangan harga barangan asas akan naik apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.
Bagaimanapun, senario sebaliknya berlaku di pasar raya Tesco dengan harga barangan keperluan asas seperti telur, ikan, roti dan sayur-sayuran tidak mengalami kenaikan, malah bekalannya mencukupi.
Berikutan itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Datuk Iskandar Halim melahirkan rasa puas hati apabila melakukan lawatan mengejut di pasar raya besar Tesco IOI di Putrajaya bagi meninjau harga barangan keperluan hari ini.
“Sebanyakan barangan asas yang menjadi kebimbangan pengguna mungkin ketiadaan stok itu tidak jadi satu persoalan.
“Di sini saya tengok stoknya banyak dan mencukupi, harganya juga munasabah malah saya juga telah difahamkan sebilangan barangan sudah turun harga sebelum PKP lagi seperti mi Maggie, ayam masih lagi RM5.99 perkilo.
“Roti juga banyak stok walaupun kita dengar banyak tempat tiada. Roti putih banyak.
“Untuk telur pula, di Tesco sememangnya tiada kenaikan harga. Bekalan juga ada cuma ketika ini permintaan terhadap telur ini sangat tinggi. Sejak PKP, rakyat Malaysia suka pula makan telur dengan begitu banyak.
“Pembelian telur juga sangat banyak dan ada kalanya ianya habis dibeli. Tetapi saya diberitahu oleh pengeluar telur bekalan masih banyak sehingga boleh di import keluar,” katanya.
Mengikut data yang dipaparkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia berdasarkan sumber pungutan harga dari Bahagian Harga Barangan Negara, KPDNHEP sehingga 22 Mac 2020, antara barangan yang mengalami kenaikan ialah ikan kembung, telur ayam gred A, timun, kelapa parut dan daging lembu tempatan (bahagian paha).
Berdasarkan statistik itu, purata harga ikan kembung ialah RM14.08 sekilo berbanding RM13.92 sekilo sehari sebelum PKP dilaksanakan.
Iskandar berkata, pihaknya sentiasa peka terhadap aduan yang diterima dan pihaknya sentiasa turun padang walaupun pada hujung minggu dalam usaha memastikan setiap aduan ditangani dengan baik.
“Sekiranya ada aduan, kita akan siasat serta merta tanpa prejudis. Tetapi saya minta jugalah kepada para pengadu ini supaya salurkan maklumat lengkap seperti apakah barangan naik harga, di mana dan sebagainya.
“Ini ada yang hantar aduan kata harga ‘bawang’ naik tetapi tidak pula beritahu di mana, jadi susah juga untuk kita siasat, jadi saya mohon sedikit bantuan dari anda-anda sekelian.
“Jika ada peniaga hendak buat aduan, juga boleh sekiranya pembekal naikkan harga barangan, kita akan siasat jadi tidak perlu takut,” ujarnya. – MalaysiaGazette