GENEVA – Serangan Amerika Syarikat (AS) yang bertubi-tubi terhadap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus mencetuskan kontroversi di kala pandemik Covid-19 tidak henti meningkat penularannya di peringkat global.

Agensi melaporkan, WHO bagaimanapun membuat rayuan agar seluruh dunia fokus dalam memerangi wabak itu yang telah meragut lebih 88,502 nyawa seluruh dunia setakat ini.

Presiden AS, Donald Trump ketika ini berterusan mengkritik tindakan WHO dalam menangani pandemik berkenaan apatah lagi negara itu berada di ranking pertama dunia kes jangkitan positif Covid-19 sebanyak 435,128.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, ini bukanlah masa untuk menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya semua perlu berganding bahu menangani wabak ini sebelum ianya terus menular dengan lebih ‘teruk’ lagi.

Kata Tedros, hari ini sudah genap 100 hari sejak Covid-19 dikesan di China sebelum ianya menular ke setiap pelusuk dunia dengan kes jangkitan ketika ini sudah mencecah lebih 1.5 juta.

“Ini bukanlah masa tuding jari salahkan sesiapa. AS dan China perlu bekerjasama lawan wabak ini. Ini lebih penting, ini sahaja penting pada masa ini.

“Semua parti politik sepatutnya memfokus untuk menyelamatkan rakyat mereka. Tolong jangan mempolitikkan virus ini. Saya mohon kepada semua.

“For God sake (Demi Tuhan), adakah apa yang sedang dilalui oleh kita semua ini tidak cukup sehingga anda masih mahu berterusan bertelagah? Cukuplah. Tolong.

“Seandainya anda-anda semua tidak mahu berterusan melihat beg mayat semakin banyak memenuhi negara anda, henti main politik dalam perkara ini. Ini seperti bermain api,” katanya.

Tedros juga telah memberi bayangan serta amaran bahawa pandemik COVID-19 akan semakin buruk jika seluruh dunia tidak bersatu padu melawan penularannya.

“Marilah berjuang habis-habisan untuk mengawal dan membanteras virus ini. Jika kita terus mempolitikkan isu, nanti kita juga akan menyesal,” rayu pemimpin itu.

Kelmarin, Trump menuduh WHO mengambil tindakan salah dan terlalu lambat sehingga menyebabkan ribuan mati serta dijangkiti selain menerima dana daripada AS tetapi berat sebelah kepada China.

“WHO benar-benar membuat kesilapan besar. Atas sebab tertentu, sebahagian besar dana dibiayai oleh AS tetapi sangat berpusatkan China. Kami akan meneliti perkara itu.

“Mujur saya menolak nasihat mereka untuk terus membuka sempadan kami kepada China pada peringkat awal. Mengapa mereka memberikan saranan salah seperti itu?” tulis Trump dalam Twitternya.

Ciapan itu juga telah menyebabkan kontroversi dunia pada masa dunia Barat khasnya sedang berhempas pulas menangani Covid-19 yang jelas sekali memberikan kesan lebih besar berbanding lain-lain negara.

WHO sebelum ini juga pernah dikritik sebagai bertindak ‘berlebihan’ mahupun terlalu lembap dalam menangani epidemik sebelum ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat terlalu cemas ketika berdepan epidemik H1N1 pada 2009 tetapi lima tahun kemudian ia didakwa lembap bertindak dalam menangani wabak Ebola di Afrika Barat yang meragut lebih 11,000 nyawa.

Kini wujud pula tuduhan badan kesihatan dunia itu berlengah-lengah dalam memberikan penggera ‘kecemasan’ Covid-19 dengan andaian itu berkemungkinan akan ‘menyinggung’ Beijing.

WHO dituduh lambat dalam mengisytiharkan wabak berkenaan sebagai pandemik global, dan gagal menyelaraskan tindak balas antarabangsa yang bersepadu.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres juga senada dengan Tedros sambil menegaskan bahawa sekarang bukan masa untuk mengkritik tindak balas awal terhadap wabak itu.

“Sekarang adalah masa untuk perpaduan dan masyarakat antarabangsa berganding bahu dalam solidariti bagi menghentikan virus ini serta kesannya yang membawa kehancuran,” tegasnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast