KUALA LUMPUR – Pengalaman bersama LionsXII selama empat musim lalu pada 2012 hingga 2015 lalu menjadi punca utama mengapa ramai jurulatih di Liga Malaysia berminat mendapatkan pemain import dari Singapura.
Menurut bekas penyerang kebangsaan Singapura yang kini bersama Felda United FC, Khairul Amri, potensi serta tahap konsistensi dimiliki pemain LionsXII sudah diketahui oleh kebanyakan jurulatih lantas memudahkan buat mana-mana pemain pantas serasi dengan corak pasukan diwakili di Liga Malaysia.
Biarpun mungkin kekuatan fizikal tidak menyamai pemain import berdarah campuran terutama dari Filipina atau Thailand namun kemampuan teknikal pemain Singapura berada dalam satu aras dengan pemain kebangsaan ASEAN lain.
“Pengalaman lima tahun lalu ketika beraksi dengan LionsXII sebenarnya beri kelebihan buat kami dalam meraih kepercayaan jurulatih kerana mereka sudah kenal majoriti daripada kami.
“Bila kuota ASEAN dibuka beberapa tahun lalu, saya memang gembira kerana majoriti pemain Singapura menjadi pilihan kebanyakan pasukan.
“Fizikal kami mungkin tidak sama dengan kebanyakan pemain campuran tetapi kami bermain atas dasar semangat yang tinggi serta ada keupayaan teknikal tersendiri,” katanya atau nama sebenar, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal.
Baru-baru ini satu laporan mendedahkan pemain Singapura menguasai carta import kuota ASEAN dengan lima pemain menjadi pilihan buat pasukan di saingan CIMB Liga Super.
Faktor budaya serta bahasa yang hampir sama dengan Malaysia menjadi kelebihan buat pemain dari Singapura mengisi kuota import ASEAN yang diperkenalkan oleh badan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League(MFL) sejak 2018 kepada 12 pasukan di CIMB Liga Super.
Sebagai rekod, lima pemain import Singapura yang kini beraksi di Liga Malaysia pernah bermain dengan LionsXII antara musim 2012 hingga 2015.
Dalam pada itu,penyerang berusia 35 tahun berkenaan mengakui dia sebenarnya gusar reputasi baik pemain dari Singapura untuk bermain di Liga Malaysia akan berakhir dalam masa terdekat.
Asas itu disebabkan kemerosotan kualiti pemain muda dan keputusan kurang baik yang dapat dilihat sejak kebelakangan ini dalam beberapa kempen pertandingan bawah umur anjuran Konfederasi Bolasepak (AFC) serta di Sukan SEA 2019.
“Bukan sahaja saya,semua pihak bimbang dengan perkembangan bola sepak di Singapura buat masa ini dan mungkin legasi yang kami tinggalkan tidak dapat diteruskan.
“Sebagai contoh di posisi saya iaitu penyerang, hanya Ikhsan Fandi dan adik saya, Khairul Nizam sahaja mampu disandarkan dan selain itu tiada siapa lagi.
“Kami harap perkara ini sementara sahaja dan mungkin ada pemain lain dapat meneruskan rekod baik pemain Singapura untuk bermain di sini, ” katanya. – MalaysiaGazette