Datuk Moehamad Izat Emir
Presiden Persatuan Pedagang ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir.

SUBANG JAYA – Golongan peniaga dan penjaja kecil yang terjejas pendapatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu segera mempelbagaikan perniagaan mereka, sesuai dengan keadaan semasa.

Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, mereka boleh menjadikan kejiranan di Jalan Masjid India Kuala Lumpur sebagai pusat pendidikan terbaik dalam bidang perniagaan.

“Selain universiti, Jalan Masjid India adalah satu tempat belajar yang terbaik. Di sana hebat, kalau awak tak tahu nak berniaga apa, anda boleh pergi ke Jalan Masjid India.

“Anda kena bergaul dengan semua mereka, ramai pakar (berniaga) dan banyak kepintaran,” katanya dalam program Sembang Sifu: PKP Fasa 3 Apa Jadi Usahawan Kita? di Facebook Live MalaysiaGazette, hari ini.

Menurutnya, peniaga dan penjaja kecil tidak boleh lagi berada di takuk lama dan masih berniaga secara runcit semata-mata, sebaliknya cuba beralih kepada perniagaan secara borong.

“Kita jangan hanya nak berniaga runcit (retail), kena belajar macam mana borong (wholesale)

“Saya bangga di satu tempat, di mana saya dapat lihat ada anak-anak Melayu yang pandai berniaga gajet telefon pintar, malah mereka mampu jual secara besar-besaran.

“Maknanya ilmu yang mereka belajar di sekolah di mana kerajaan bantu mengajar telah menghasilkan pertumbuhan generasi baharu, itu sesuatu yang amat kita banggakan,” katanya.

Katanya, ketika tempoh PKP yang akan dilanjutkan sehingga 28 April ini, golongan peniaga perlu mengambil kesempatan untuk merancang semula perniagaan mereka dan bukan lagi merungut atau menyalahkan kerajaan.

“Dalam masa Covid-19 ini kita kena duduk merancang, hubungi kawan-kawan, tukar-tukar idea, nyatakan kepada semua sahabat masalah yang kita rasa tertekan dan bertukar fikiran, ini cara dia.

“Bukan duduk merungut atau berkata dengan bahasa kasar, kutuk itu dan ini, semua tak boleh, cara ini sudah tak boleh pakai. “Bahkan para pemimpin juga kena berfikir panjang sebelum kritik antara satu sama lain, fokus kepada kemajuan,” katanya.

Selain itu, katanya, iklan yang dihantar melalui pesanan ringkas SMS dan Whatsapp ketika tempoh PKP tidak harus diabaikan kerana itulah sebenarnya strategi perniagaan era ini.

“Cakap pasal dalam talian (online), saya rasa semua orang ada terima pelbagai tawaran (barang dan perkhidmatan) melalui telefon masing-masing.

“Orang yang tawar idea untuk berniaga, jadi kita kena berhubung dengan mereka, kita tak boleh abaikan mereka begitu saja.

“Malah kita kena berasa bangga rakyat Malaysia yang terdiri daripada lebih 3 kaum berbilang bangsa, mereka ini ada idea, kita boleh berkongsi idea,” katanya.

Katanya lagi, semangat setiakawan tinggi dan kerjasama di antara sesama peniaga India dan Cina menjadikan mereka komuniti perniagaan yang berjaya di negara ini dan ia perlu dicontohi oleh orang Melayu.

“Saya amat tertarik hati melihat mereka berniaga di Brickfield dan Jalan Masjid India, berderet-deret kedai, kalau kedai emas, semua kedai emas, kalau jual kain, semua jual kain.

“Bererti mereka bersatu hati dan bekerjasama, makanan pun macam itu, kalau satu kedai makan, semua kedai makan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette