Frédéric Laplanche

KUALA LUMPUR – Kedutaan Perancis merakamkan penghargaan atas  kemampuan Malaysia mewujudkan sekitaran kesihatan meyakinkan dalam menangani wabak COVID-19 dan segala bantuan diberikan kepada warga asing yang terkandas di sini.

Duta Besar Perancis ke Malaysia Frédéric Laplanche berkata, misi itu  menghargai kemampuan Malaysia mewujudkan rasa yakin kepada kedutaan mengenai sekitaran perubatan negara ini.

“Kedutaan mengucap terima kasih dan berasa amat lega kerana Kementerian Kesihatan dan semua petugas kesihatan di Malaysia menjadikan kami rasa yakin terhadap persekitaran perubatan di negara ini.

“Sehubungan itu, kedutaan menasihatkan 3,000 warga Perancis di sini supaya menjaga kesihatan dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa kerajaan Malaysia,” katanya menerusi e-mel kepada Bernama.

Beliau berkata, kedutaan juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan serta perkhidmatan awam Malaysia atas bantuan diberikan kepada misi itu dalam pelbagai bidang.

Katanya, Kementerian Luar Malaysia membantu kedutaan memindahkan lebih 1,000 warganya yang terkandas akibat sekatan penerbangan susulan wabak COVID-19.

“Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen turut membantu menyelesaikan kes pelancong yang terkandas di lapangan terbang,” katanya.

Beliau memaklumkan  kedutaan telah mengadakan penerbangan khas untuk mengangkut lebih 200 pelancong Perancis dan 50 warga dari negara Eropah yang lain untuk pulang ke negara masing-masing, pada 26 Mac.

Menurutnya, ada kira-kira 300 pelancong Perancis di Malaysia yang masih terkandas.

Laplanche berkata, kira-kira 150,000 pelancong Perancis mengunjungi Malaysia setiap tahun.

— BERNAMA