KUALA LUMPUR – Lembaga Getah Malaysia (LGM) memandang serius isu pencemaran yang berlaku di Sungai Meru, di kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh Perak yang dipercayai berpunca daripada pelepasan sebuah kilang sarung tangan getah.
Menurutnya, Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca berlakunya pencemaran ini.
Selain itu, LGM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak bagi siasatan lanjut dan terperinci.
Menurutnya, berdasarkan Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014, di bawah Peraturan 10(1)(g), Lembaga boleh menghendaki seseorang pemegang lesen untuk memberikan penjelasan, yang mana sekiranya Lembaga tidak berpuas hati, lesennya boleh digantung atau dibatalkan kerana pemegang lesen itu telah mencemarkan imej baik industri getah.
LGM tidak akan teragak-agak untuk menggantung atau membatalkan lesen mana-mana premis berdaftar dengan LGM, sekiranya didapati pemegang lesen tersebut melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
”LGM prihatin dan amat menitikberatkan isu pencemaran alam sekitar dan komited untuk mengawal selia kilang-kilang yang beroperasi secara berterusan khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping mempertingkatkan usaha sama dengan JAS.
”Sebarang aduan bagi perkara ini boleh dibuat dengan menghubungi talian hotline LGM di 1-800-888-474 atau hotline Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) di 03-8880-3498 dalam tempoh PKP,” katanya. – MalaysiaGazette