KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan hari ini menjelaskan pelaksanaan dan cara untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mendapatkan bantuan tunai RM200 di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akhir bulan lalu.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata, bayaran itu dibuat secara sekali dapat (one off) dan perlu menepati dua syarat iaitu warganegara Malaysia dan berstatus aktif sebagai pelajar sepenuh masa pada 31 Mac ini di institusi pendidikan di negara ini.
“Pelajar IPT di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan (KPM) dan kementerian berkaitan di pelbagai peringkat pengajian tinggi, termasuk kolej komuniti, politeknik, universiti awam (UA) dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS);
“Pelajar institusi pendidikan yang setara dengan tingkatan 6, Senior Middle 3, Sijil Tinggi Agama (STAM), diploma kolej vokasional, diploma dan setara institusi TVET, matrikulasi, Pengajian Asas (Foundation), Asasi, A-Level, International Baccalaureate Diploma, Australian Matriculation (AUSMAT) Diploma, diploma lanjutan, sarjana muda dan setaraf, sarjana dan setaraf, doktor falsafah dan setaraf, serta kursus bertaraf diploma dan ke atas yang diiktiraf kerajaan atau badan profesional di Malaysia;
“Pelajar IPT di bawah seliaan KPM dan KPT atau IPT yang berdaftar di bawah akta berkuat kuasa.
“Pelajar IPT diploma atau setara, termasuk pelajar sepenuh masa SKM4 dan ke atas di institusi di bawah seliaan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar/Mara,” jelas Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, bantuan itu tertakluk kepada pelajar IPT tempatan sahaja dan tidak layak untuk pelajar yang menuntut di luar negara.
“Semua pelajar boleh menyemak status kelayakan masing-masing melalui pegawai di Bahagian Kemasukan Hal Ehwal Akademik/Unit Hal Ehwal Pelajar/Unit Pembangunan Pelajar di IPT masing-masing,” kata kementerian itu lagi.
Bantuan akan disalurkan kepada pelajar yang layak melalui akaun bank masing-masing mulai hujung April 2020 oleh institusi masing-masing.
Sebarang semakan boleh dibuat di Bahagian Kemasukan Hal Ehwal Akademik/Unit Hal Ehwal Pelajar/Unit Pembangunan Pelajar di institusi masing-masing.
Semalam, Kementerian Kewangan memutuskan untuk memperluaskan pemberian bantuan RM200 (one off) kepada setiap pelajar tingkatan enam, penuntut jurusan diploma dan lain-lain yang setara.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemberian itu turut termasuk kepada pelajar di institusi di bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Amanah Raya (MARA). – MalaysiaGazette