IPOH – Kebajikan petugas-petugas media di Perak yang terkesan berikutan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian apabila menerima bantuan daripada pihak-pihak yang prihatin.
Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi tampil menghulurkan sumbangan.
Nolee Ashilin berkata, sumbangan yang dihulurkan sebagai tanda sokongan dan prihantin terhadap petugas media yang disampaikan melalui Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak (KSKMP).
Beliau yang juga memangku portfolio Komunikasi dan Multimedia memberitahu, sumbangan itu diharap membantu meringankan kehidupan mereka berikutan tempoh PKP ini.
“Saya difahamkan ada sebahagian rakan media yang berpendapatan kecil dan ada yang berkerja sendiri, malah hilang mata pencarian berikutan pengecilan operasi.
“Rakan-rakan media juga merupakan petugas barisan hadapan yang banyak membantu menyebarkan berita. Mereka juga berhadapan risiko semasa bertugas”, katanya.
Terdahulu, sumbangan berupa barang-barang keperluan harian, cecair pembersih tangan dan wang saku disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md. Taib.
Pihak Digital Perak pula turut menyumbangkan penutup mulut yang sampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Meor Rezal Fitri Datuk Meor Redwan.
Sementara itu Pengerusi KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali berkata, sumbangan tersebut besar ertinya terutama kepada rakan media yang terjejas pendapatan.
“Kami memfokuskan rakan-rakan media yang berpendapatan kecil termasuklah wartawan sambilan yang pendapatan mereka bergantung kepada jumlah tugasan.
“Begitu juga rakan media yang kehilangan pekerjaan berikutan pengecilan operasi. Sumbangan ini amat kami hargai,” ujar beliau.- MalaysiaGazette