KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) nafi mengeluarkan produk berupa baju-T dan topeng muka yang memaparkan nama Operasi Penawar beserta logo ATM-PDRM untuk dijual kepada orang ramai seperti yang diuar-uarkan oleh sebuah laman jualan dalam talian dan media sosial.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menegaskan mana-mana pihak tidak boleh mengeluar, menjual, membeli dan menggunakan sebarang produk yang mengguna pakai nama Operasi Penawar yang tertera logo ATM/PDRM tanpa kebenaran.
Produk-produk tersebut boleh disalah guna oleh individu-individu tertentu, mengelirukan orang awam dan merupakan tindakan cuba mengambil kesempatan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakanĀ oleh ATM dan Polis Diraja Malaysia.
Pada masa yang sama, ia mencemar nama baik dan peranan kedua-dua agensi keselamatan ini yang tidak berteraskan sebarang keuntungan perniagaan. – MalaysiaGazette