Mesin ATM beras beroperasi 24 jam sehari bagi membantu orang miskin.

HO CHI MINH – Seorang usahawan di Vietnam telah mencipta sebuah mesin teller automatik (ATM) beras bagi menyediakan bekalan makanan asas tersebut secara percuma kepada orang ramai yang hilang sumber pendapatan akibat perintah berkurung akibat Covid-19.

Vietnam merekodkan 262 kes Covid-19 bagaimanapun masih tiada kematian dicatatkan setakat ini.

Namun begitu, program penjarakan sosial selama 15 hari yang dilaksanakan kerajaan sejak 31 Mac lalu telah menyebabkan banyak perniagaan kecil ditutup manakala ribuan pekerja hilang sumber pendapatan buat sementara waktu.

Mesin itu mengedarkan beg berisi 1.5 kilogram beras kepada para pekerja terutamanya penjaja tepi jalan atau pekerja pembersihan bergaji hari yang sedang menanti.

Ahli perniagaan yang menjadi pencetus idea tersebut, Hoang Tuan Anh pada asalnya menyumbang loceng pintu pintar kepada hospital-hospital di sekitar bandaraya Ho Chi Minh sebelum menggunakan kepakarannya dalam bidang teknologi untuk mencipta alatan pengedaran makanan.

Salah seorang penerima sumbangan tersebut adalah Nguyen Thi Ly yang mana suaminya telah kehilangan kerja sejak perintah tersebut dilaksanakan.

“Mesin ATM beras ini sangat membantu. Dengan satu beg beras, kami boleh makan untuk sehari.

“Sekarang kami hanya memerlukan makanan lain, kadang-kadang ada jiran yang memberikan lebihan makanan mereka dan ada masanya kami makan mi segera,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast