KUALA LUMPUR – Selain bekalan makanan, Zoo Negara juga memerlukan bantuan perubatan untuk semua hidupan liar yang dipelihara di situ.
Timbalan Presidenn Rosly@Rahmat Ahmad Lana berkata, sehingga kini bantuan yang banyak diberikan adalah dalam bentuk bekalan makanan.
Katanya, setiap hari kos bekalan ubat-ubatan termasuk makanan haiwan yang dibelanjakan oleh Zoo Negara adalah RM12,000.
“Sekarang ini yang kita perlukan juga adalab ubatan haiwan. Untuk makanan dan perubatan kita belanjakan RM12,000 sehari RM360,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas menerima dana bantuan RM1.3 juta dari Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di sini.
Mengulas mengenai keperluan makanan untuh haiwan-haiwan di Zoo negara, katanya, sehingga kini sambutan orang ramai yang menghulurkan bantuan sangat menggalakkan.
Menurutnya, sebanyak 99 peratus penyumbang datang daripada individu dan jumlah keseluruhan mengatasi RM500,000.
Walaupun jumlah itu belum mencukupi namun Rosly yakin bantuan akan semakin bertambah dari semasa ke semasa.
Berdasarkan respon positif masyarakat tidak mustahil Zoo Negara berjaya mengumpul RM1 juta bantuan kewangan untuk digunakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Setakat ini sumbangan orang ramai mengatasi RM500,000 dari orang ramai tapi buat masa ini belum cukup lagi
“Hari-hari ada emel masuk (untuk sumbangan) jadi saya jangka dalam sejuta akan dapat bantuan,”katanya.
Semenjak PKP dikuatkuasakan 18 Mac yang lalu untuk mengawal Covid-19, pelbagai sektor tidak dibenarkan lagi beroperasi seperti biasa untuk mengelakkan perhimpunan besar berlangsung selaras dengan ketetapan Kementerian Kesihatan (KKM).
Terkini, kerajaan membuat keputusan meneruskan PKP kepada fasa ketiga yang dijangka tamat pada 28 April. -MalaysiaGazette