LONDON – Pemain tengah Manchester United Paul Pogba mendedahkan faktor keluarganya telah membuatkan beliau memilih meninggalkan Juventus dan kembali ke Manchester United pada 2016.
Hasrat pemain antarabangsa Perancis untuk kembali ke Old Trafford memang membuat semua terkejut jika melihat bagaimana kariernya dengan The Red Devils pada tahun 2011/12.
Ketika itu pemain berusia 27 tahun itu tidak menjadi pilihan Sir Alex Ferguson sehingga akhirnya dia memilih untuk mencuba nasib di Itali bersama Juventus.
Dalam temubual yang dilaporkan oleh Goal mendedahkan Pogba mengakui keluarga terutama abangnya Mathias sememangnya meminta dia untuk segera meninggalkan Old Trafford ketika itu dan kembali ke United jika sudah bersedia.
“Sahabat saya adalah peminat Manchester United dan mereka mengatakan sangat marah kerana saya tidak diberikan peluang bermain dengan lebih kerap.
“Mereka berkata tinggalkan sahaja kelab ini dan pergi ke tempat lain,” kata Pogba seperti yang dilaporkan oleh Goal.
Tambah Pogba, ibunya juga pernah memberi nasihat bahawa dia boleh pergi ke tempat lain namun suatu hari nanti akan kembali ke Old Trafford.
“Kemudian dia berkata jangan risau, anda pasti akan kembali ke Manchester United. Perkara yang dia katakan adalah benar, saya telah melakukannya,” katanya. – MalaysiaGazette