KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2020 sebanyak RM1,000 kepada anggota perkhidmatan awam di negeri itu.
Selain itu, mereka yang telah bersara pada 1 Januari hingga 23 April lalu turut layak mendapat bantuan sebanyak RM500.
Menurut Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Sembilan, pembayaran yang memerlukan peruntukan sebanyak RM4 juta itu akan dilakukan pada 8 Mei ini.
Katanya, keputusan pemberian bantuan itu turut dipanjangkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun di negeri tersebut.
“Langkah ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan penjawat awam dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, sekaligus meningkatkan motivasi mereka untuk terus memacu Pentadbiran Negeri ini ke arah kecemerlangan.
“Komitmen yang tidak berbelah bagi sentiasa dizahirkan dalam memastikan jentera pentadbiran dan sistem penyampaian Kerajaan Negeri Sembilan berjalan lancar terutamanya dalam waktu yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pelaksanaan tugas harian masih dilaksanakan sama ada dari rumah (work from home) mahupun di pejabat pada waktu-waktu yang diperlukan.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri yakin terhadap keupayaan untuk membuat bayaran BKK berdasarkan kepada kedudukan rizab Negeri pada 31 Disember 2019 yang kukuh berjumlah RM875.03 juta.
BKK akan menggunakan lebihan daripada Akaun Hasil disatukan tahun 2019 sebayak RM126.44 juta, katanya.
Tambah kenyataan itu, pemberian BKK itu juga mampu meningkatkan kuasa membeli apabila terdapat lebihan wang dalam tangan para pegawai perkhidmatan awam memandangkan mereka adalah salah satu golongan konsumer yang penting dalam pasaran.
Situasi ini, katanya, akan meningkatkan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan dalam pasaran tempatan.
Katanya, dengan jangkaan kemelesetan ekonomi, ditambah pula dengan penularan COVID-19 serta pelaksanan PKP, tambahan wang di tangan ini juga akan merancakkan pengeluaran dan produtiviti sekaligus meningkatkan pendapatan negeri. – MalaysiaGazette