KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengeluarkan surat peringatan kepada kilang-kilang kelapa sawit bagi mematuhi peraturan berkenaan penjagaan alam sekitar termasuk sistem pengolahan efluen yang boleh menyebabkan pencemaran sungai.

Di bawah Peraturan Pelesenan MPOB (Akta 582), kilang kelapa sawit yang melakukan sebarang aktiviti yang melanggar peraturan dan undang-undang boleh dikenakan surat tunjuk sebab, kompaun sehingga RM100,000, penggantungan atau menyebabkan lesen dibatalkan.

”MPOB menggesa kilang kelapa sawit supaya pada setiap masa mematuhi peraturan MPOB dan peraturan Jabatan Alam Sekitar mengenai penjagaan alam sekitar khususnya semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilanjutkan sehingga 28 April 2020,” kata Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB.

Sebarang pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan melalui email, [email protected] atau talian 03 8769 4400.

Baru-baru ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah telah mengambil tindakan menggantung lesen sebuah kilang kelapa sawit yang beroperasi di negeri berkenaan kerana kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18 (1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

MPOB memandang serius isu kilang kelapa sawit menyebabkan pencemaran Sungai Malagatan dan Sungai Tongod di Sabah, berpunca kegagalan pihak kilang melupuskan sepenuhnya sisa buangan (efluen) di kawasan pengairan tanah seperti yang termaktub di dalam syarat-syarat lesen yang dikeluarkan.

Menurutnya, MPOB sentiasa berkerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar bagi membendung pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran sungai oleh aktiviti pengilangan sawit.

”MPOB sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan secara berkala ke atas kilang-kilang kelapa sawit bagi memastikan pematuhan sistem pengolahan efluen dan had pelepasan yang ditetapkan,” katanya. – MalaysiaGazette