Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ketetapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membenarkan sektor perkhidmatan dan pembinaan terpilih untuk memulakan operasi disambut baik pihak industri dan kalangan kontraktor tempatan.

Bagi Yang Di Pertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan (PKMM-WP), Datuk Amran Mohamad, perhatian terhadap keperluan dan kebajikan kontraktor yang berdepan tempoh sukar akibat penularan Covid-19, membuktikan keprihatinan kerajaan membela nasib golongan terjejas.

Beliau berkata, kesemua kontraktor termasuklah pihak PKMM-WP berasa amat lega dan komited menggalas peranan diberikan untuk melaksana kerja-kerja pembinaan terpilih sebaik mungkin.

“Kebenaran diberi untuk teruskan projek terpilih dalam situasi tempoh masa kawalan ini, pasti memberi kelegaan sekaligus kagum dengan  hasrat Perdana Menteri.

“Langkah teruskan perkhidmatan industri binaan terpilih, berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa untuk pastikan kelangsungan ekonomi negara dapat diteruskan menjamin dan mengelak kehilangan pekerjaan warga kerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Amran, PKMM-WP menyambut baik dan berterima kasih kepada kerajaan hasil Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat demi rakyat dari pelbagai lapisan dan bidang industri.

Katanya, langkah meneruskan kembali projek dalam tempoh masa kawalan ini akan memberi cabaran bagi kontraktor dan PKMM(WP) akan menyokong dasar dan pelan tindak kerajaan mengekang kes penularan wabak Covid-19.

“Kami berharap kerajaan menyokong berterusan dan meneliti suatu mekanisme untuk  membantu kontraktor berdepan masalah aturan tunai ketika ini akibat peningkatan kos logistik, sewaan mesin dan kos bahan mentah yang terpaksa ditanggung kontraktor.

Selain itu katanya, terdapat kalangan kontraktor mengalami kekurangan aliran tunai yang serius dan mereka perlu membuat pembayaran kepada pekerja terutamanya bagi mereka yang terlibat dalam melakukan kerja-kerja sebelum PKP dilaksnakan.

PKMM-WP mencadangkan satu mekanisma bayaran dapat diusahakan bagi membolehkan tuntutan kemajuan kerja kontraktor dilunas berdasarkan kemampuan Kerajaan, badan berkanun mahupun swasta yang gunakan sistem online selama ini.

Dalam pada itu, PKMM-WP turut mengingatkan para kontraktor bahawa perlaksanaan kebenaran beroperasi diberikan harus dipatuhi termasuklah keperluan permit dan pematuhan setiap prosedur kerja ditetapkan oleh kerajaan.

“Perkara ini penting dalam usaha kawalan untuk menghadapi Covid-19, di mana keselamatan dan kesihatan semua tenaga kerja berada pada aras tertinggi bagi pastikan rantaian jangkitan wabak ini dapat diputuskan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast