Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengesahkan seramai 191 jemaah tabligh warganegara Malaysia sedang dikuarantin di India.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Wisma Putra menerusi Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India sentiasa memantau rapat isu jemaah tabligh itu yang sedang dikuarantin di hospital atau pusat-pusat kuarantin khas di beberapa wilayah di negara itu.

Jelas beliau, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menghulurkan bantuan konsular termasuk memberi pek penjagaan diri kepada sebahagian daripada jemaah tabligh yang sedang dikuarantin itu.

“Selain itu, Kerajaan India juga masih belum memberikan makluman rasmi berhubung status kebanyakan rakyat Malaysia yang lain yang sedang dikuarantin iaitu maklumat mengenai tempoh masa proses kuarantin dan tindakan susulan yang boleh diambil selepas mereka selesai menjalani proses kuarantin.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi juga sentiasa berhubung dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri India dan pihak berkuasa tempatan India khususnya dalam menyelaras usaha menghulurkan bantuan konsular kepada mereka,” katanya pada sidang media secara langsung di Facebook di sini hari ini.

Ketika ini, India masih melaksanakan ‘lockdown’ di seluruh negara sehingga 3 Mei ini untuk mengekang penularan pandemik Covid-19.

Kamarudin menambah, Perwakilan-Perwakilan Malaysia di India sentiasa dan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan serta berusaha menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia di India terutamanya mereka yang sedang dikuarantin.

Tambahnya, Wisma Putra mengambil maklum berhubung penahanan oleh pihak berkuasa India terhadap sebahagian jemaah tabligh warganegara Malaysia ekoran tindakan mereka yang dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan visa.

“Buat masa ini, Wisma Putra sedang dalam proses mengenalpasti permasalahan dan mendapatkan cerita sebenar di sebalik isu ini khususnya dari Kerajaan India

“Saya harap jangan ada mana-mana pihak mempolitikkan isu ini apatah lagi mengaitkannya dengan isu keagamaan.

“Ini kerana, ia bukan sahaja akan menimbulkan pelbagai salah faham dalam kalangan masyarakat tetapi juga boleh merumitkan rundingan yang sedang Wisma Putra usahakan dengan Kerajaan India,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast