KUALA LUMPUR – Pengumuman Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) semalam mengenai penekanan pembangunan industri buluh sebagai program game changer Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diragui oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).
Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, buluh sepatutnya terus menjadi tanaman alternatif bagi mengelakkan baki hutan dalam negara tidak dieksploitasi.
“Ini sebagai inisiatif Kerajaan Persekutuan, adalah kewajiban Kerajaan Persekutuan untuk bertahan bahawa pelaksanaan skema yang diperkenalkan oleh mereka sesuai dengan komitmen internasional mereka untuk memastikan keberlanjutannya. Piawaian dan langkah harus dibuat untuk memastikan bahawa ladang buluh tidak dilaksanakan di tanah hutan yang ada.
“Pengenalan penanaman buluh hanya harus dilaksanakan sebagai tanaman alternatif untuk tanaman tunai yang ada dan hanya terbatas pada tanah pertanian yang ada termasuk, perkebunan kelapa sawit. Pelajaran yang diperoleh dari penanaman kelapa sawit harus diterima pakai oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kelestarian dalam jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia dibawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) menyediakan insentif pinjaman mudah (soft loan) bagi menggalakkan pembangunan ladang buluh.
Pinjaman sejumlah RM10,000 sehektar disediakan untuk pembangunan ladang skala kecil (20-40 hektar), skala sederhana (41–2,499 hektar) dan skala besar (2,500 hektar ke atas).
Selain itu bagi menyokong pembangunan industri buluh, kementerian akan membangunkan Makmal Tisu Kultur dan Tapak Semaian Buluh di Lahat, Negeri Perak di kawasan seluas 1.72 hektar (4.2 ekar) dalam usaha untuk menghasilkan anak benih buluh berkualiti.
Katanya, perkara ini ditentukan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri dimaklumkan mengenai status pembangunan industri buluh negara dan akan potensinya untuk dimajukan sebagai sumber pertumbuhan baru dalam sektor agrikomoditi.
Oleh yang demikian, Shariffa Sabrina menggesa KPPK meneliti semula keputusan untuk menjadikan industri buluh sebagai program game changer Rancangan Malaysia KE-12 (RMK12).
“Kami mengakui kelebihan buluh sebagai tanaman mesra alam, sama ada kemampuannya untuk mengekalkan air atau sebagai penyerap karbon yang cekap, PEKA menggesa Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia untuk berfikir secara strategik dan memastikan keberlanjutan dalam melaksanakan dasar atau skim apa pun.
“Keuntungan ekonomi yang tidak mengambilkira kelestarian alam adalah perkara yang lapuk dan tidak lagi dapat dipertahankan,” katanya lagi.
Dalam pada itu bekas menteri Industri Asas Tani, Teresa Kok pula gembira dengan keputusan KPPK yang dilihatnya seiring dengan perjuangannya sebelum ini.
Tambah Ahli parlimen Seputeh itu, meskipun Khairuddin pernah membidas cadangannya pada tahun lalu namun keputusan kementerian tersebut kini membuktikan wujud kesedaran terhadap kelebihan indusri buluh diketengahkan.
“Saya percaya menteri baru telah menyedari bahawa kenyataanya yang membidas cadangan saya pada tahun lepas (3 Mac 2019) agak kurang cerdik kerana beliau tidak mendapat gambaran yang jelas berkenaan cadangan penanaman buluh secara besar-besaran,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi.- MalaysiaGazette