Semua pintu masuk dan keluar di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ditutup sehingga 28 April ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mulai hari ini, semua pintu masuk dan keluar di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek ditutup sehingga 28 April ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu.

Bagaimanapun menurut Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pintu keluar atau masuk stesen berkenaan bersebelahan Masjid Jamek masih dibuka.

Waktu operasi LRT berkenaan juga mengikuti perintah PKPD.

“Berikutan perluasan PKPD di sekitar kawasan Masjid India, kesemua pintu masuk dan keluar di Plaza Stesen LRT Masjid Jamek bersebelahan OCBC Bank dan Bank Muamalat akan ditutup mulai 16 April 2020.

“Langkah ini diambil bagi membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan pergerakan orang awam untuk pergi ke sekitar kawasan terlibat,” kata Prasarana menerusi kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Masjid India dan kawasan sekitarnya diwartakan sebagai PKPD kelima mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM).

Kawasan yang terlibat adalah Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Tun Perak, Jalan Melaka dan Jalan Ampang di sekitar Masjid India.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast