Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ramli Haji Din bercakap pada sidang media mengenai kejayaan JSJN membanteras dadah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid- 19 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan pengedaran dadah berskala besar sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) besar-besaran sejak 18 Mac lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ramli Din berkata, kejayaan itu hasil pemantauan di setiap sekatan jalan yang diadakan di seluruh negara.

Sepanjang PKP, katanya, pengedar dadah telah menggunakan perkhidmatan kurier dan penghantaran makanan untuk membekalkan bahan larangan itu.

Dalam fasa pertama iaitu 18 Mac hingga 31 Mac, trend aktiviti pengedaran dadah agak perlahan tetapi melonjak pada akhir fasa pertama dan awal fasa kedua.

“Aktiviti dadah kembali aktif semula ekoran permintaan tinggi hingga berlaku pengedaran besar-besaran.

“JSJN beraya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah berskala besar antara 10 April hingga 13 April lalu melibatkan 5 kes iaitu dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Selangor, Perak dan Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang media kejayaan pasukannya di Dewan Theatrette, Bukit Aman pagi ini.

Secara keseluruhannya kes berskala besar ini melibatkan 15 tangkapan, yang mana JSJN berjaya merampas sejumlah 165 kilogram dan 61,566 biji pelbagai jenis dadah dengan anggaran bernilai RM5.077 juta dalam tempoh empat hari sahaja.

Tambah beliau, dadah jenis syabu mendahului senarai jenis dadah yang dirampas iaitu seberat 67.6 kilogram, diikuti eramin 5 (61,566 biji) asas heroin (1.5kg) dan heroin (58.5 kg), ketamin, 12 kg, kafein 25 kg dan ganja 425 gram.

JSJN turut menyita beberapa buah kenderaan termasuk Ford Rangers, Preve dan Wira), 3 motosikal jenis Yamaha 150Z, Honda EX5 dan Honda SYM serta barang kemas iaitu tiga utas rantai emas, 2 bentuk cincin emas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.1 juta.

Ramli berkata, kesemua mereka ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan turut diambil tindakan mengikut ADB Perlucuthakan Harta (1988).

Walaupun banyak sekatan jalan raya sepanjang PKP, aktiviti dadah tidak pernah terhenti apabila seramai 376 orang ditahan dalam sekatan jalan atas pelbagai kesalahan dadah dengan nilai rampasan dadah berjumlah RM345,036.08.

Mengikut pecahan kes, sebanyak 46 kes membawa bekalan dadah melibatkan 66 orang ditangkap, diikuti 203 255 orang individu dicekup membabitkan 203 kes memiliki dadah manakala 55 orang ditangkap selepas diuji positif ujian air kencing, tambahnya.

Tegasnya, kajian pasukan narkotik juga mendapati 50 peratus tangkapan dadah menggunakan motosikal, 41 peratus menggunakan kereta persendirian dn 9 peratus menggunakan lain-lain kenderaan seperti lori, van dan teksi.

Malah katanya, terdapat juga lapan kes menggunakan penghantaran seperti Grabfood, Grab Car, Food Panda, Lalamove dan Bungkusit.

Dadah-dadah ini yang dikesan semasa sekatan jalan disimpan dalam poket baju dan seluar, dipegang di tangan, beg pinggang atau beg sandang, selain meletakkannya dalam bungkusan di tempat duduk kereta dan dalam raga motosikal.

Dalam perkembangan sama, sepanjang PKP dari 18 Mac hingga 15 April lalu, JSJN Bukit Aman juga berjaya menahan seramai 151 orang kerana melakukan kesalahan bawah peraturan 11(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 menerusi 17 serbuan parti liar di Johor, Perak, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Johor mendahului senarai tangkapan itu apabila seramai 98 orang ditahan berpesta liar menerusi 12 serbuan polis dan Pulau Pinang seramai 28 orang dalam tiga serbuan polis.

“Dalam tangkapan itu, seramai 123 orang iaitu 93 lelaki dan 30 perempuan berumur lingkungan 14 hingga 40 tahun didapati bersalah memiliki dan menggunakan dadah semasa parti liar itu,” ujar beliau.- MalaysiaGazette