Azhan Shafriman CEO SIC

KUALA LUMPUR – Pengurusan Litar Sepang Antarabangsa (SIC) masih belum menerima peruntukan dana yang diluluskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam membiayai pembangunan sukan permotoran Hafizh Syahrin.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Mohd. Azhan Shafriman berkata, pihaknya masih menunggu dana tersebut disalurkan kepada mereka bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk membela nasib Hafizh.

“Kita akan menyokong Hafizh dalam pembangunan sukan permotoran di peringkat domestik dan juga arena antarabangsa. Kita (SIC) dimaklumkan KBS meluluskan peruntukan untuk Hafizh bagi pembangunan sukan permotoran, ia akan disalurkan ke SIC dalam masa terdekat.

“SIC sebagai badan pemantau sukan permotoran Malaysia akan selaraskan dana itu untuk diberikan kepada pelumba kita itu meneruskan sukan permotoran,” katanya dalam ruang perbincangan secara bersantai dalam Googlehangout bersama pemberita sukan tempatan hari ini.

Tambah Mohd. Azhan, pihaknya akan terus berbincang dengan pengurusan SIC untuk bagaimana menguruskan dana yang diluluskan untuk pelumba itu.

Baru-baru ini KBS memaklumkan bahawa KBS telah meluluskan dana kepada Hafizh Syahrin dan akan disalurkan dalam masa terdekat.

Dana yang akan disalurkan tersebut akan diserahkan melalui SIC sebagai badan pemantau program–program pembangunan sukan permotoran di negara ini.

KBS melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) telah memaklumkan perkara ini kepada Hafizh Syahrin mengenai kelulusan penyaluran dana bagi membantu menampung kos perlumbaan beliau bagi tahun 2020 pada awal Mac yang lalu.

Bantuan seumpama itu adalah merupakan satu bentuk sokongan yang sentiasa dititikberatkan oleh KBS dalam apa jua pembangunan sukan termasuk sukan permotoran yang boleh mengharumkan nama negara. – MalaysiaGazette