Gambar hiasan

MALAYSIA kini telah mengakhiri fasa ke-2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pada 10 April 2020, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan lanjutan PKP fasa ke-3 sehingga 28 April 2020.

Statistik kumulatif rasmi yang telah dikongsikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dari 10 Mac sehingga 10 April 2020 (Rajah 1) telah menunjukkan kes baharu (118 orang), kes positif (4,346 orang), kematian (70 orang) serta sembuh dan discaj (1,830 orang). Kegusaran mengenai situasi pandemik Covid-19 menjadi semakin genting; oleh itu, satu pendekatan perlu dilakukan supaya dapat menerangkan kepada masyarakat umum apa yang sedang berlaku dan apa kemungkinan yang akan berlaku.

Usaha ini bagi meningkatkan tahap kesedaran mereka untuk terus kekal duduk di rumah, kurangkan pergerakan dan kekalkan penjarakan sosial. Jika tidak, penularan pandemik ini umpama api dalam sekam yang membakar secara senyap dengan
bahaya yang terselindung dan tidak terduga.

Rajah 1 : Statistik COVID-19 10 Mac sehingga 10 April

Pasukan Penyelidik Fuzzy Autocatalytic Set (FACS) Universiti Teknologi Malaysia yang diketuai oleh Prof. Dr. Tahir Ahmad bersama dua pensyarah kanan bidang Pemodelan Matemaik Kabur, dua graduan falsafah kedoktoran yang dibantu oleh
dua orang pelajar tahun akhir kedoktoran dalam bidang Matematik Kabur telah mengambil inisiatif dalam membantu mengenalpasti serta merungkai situasi Covid-19 secara deskriptif berdasarkan data terhad yang telah dikongsikan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my).

Kaedah Teknik Set AutoPemangkin Kabur (Fuzzy Autocatalytic Set – FACS) adalah merupakan satu kaedah baru yang telah dibangunkan dan diperkenalkan oleh Prof. Dr. Tahir pada tahun 2010 dalam Journal of Mathematical Chemistry bersama
penyelidik-penyelidik FACS yang lain dan kaedah ini sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Konsep kaedah ini dimulakan dengan menganggap bahawa semua pemasalahan yang hendak dikaji diletakkan dalam satu tempat, contohnya dalam satu bikar kaca.

Perumpamaan ini boleh digunakan dalam situasi semasa di mana bikar ini adalah keadaan PKP yang didalamnya terkurung pelbagai pembolehubah seperti lokasi, maklumat kes Covid-19, dan bilangan penduduk.

Rajah 2 : Imej Teknik Set AutoPemangkin Kabur 

Permasalahan ini kemudian perlu ditukarkan dalam bentuk graf. Menerusi graf yang dihasilkan, matriks boleh dibentuk untuk menerbitkan sistem dinamik bagi penentuan kluster yang seterusnya membantu dalam membuat keputusan.

Pendek kata, kajian ke atas graf yang dihasilkan melalui FACS ini mampu mempamerkan atribut dan sifat dinamik sesebuah graf yang akhirnya boleh membantu dalam pembuatan keputusan, pembinaan model dan ramalan.

Apa yang menariknya mengenai pasukan FACS ini, beberapa algoritma yang menggunakan pendekatan Matematik Kabur telah pun dibangunkan dan sedia
digunakan.

Salah satunya adalah System Dynamic Variable Selection ©2015 (SDVS) yang boleh diaplikasi serta diperluaskan penggunaanya bagi memastikan ianya boleh menerima apa jua jenis data untuk tujuan analisis menurut pemasalahan yang diberi. Sehubungan dengan itu, kumpulan ini juga sudah membangunkan teknik kimometrik yang berkonsepkan FACS ini.

Dengan mengunakan pendekatan FACS berdasarkan sampel data bagi tempoh 28 Mac hingga 5 April 2020 ini, 16 negeri di Malaysia telah di kategorikan mengikut kluster berdasarkan latar belakang dan maklumat yang diperolehi.

Kluster 1 adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Kluster 2 terdiri Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor manakala Kluster 3 pula adalah Pahang, Trengganu, Kelantan dan Sabah. Akhir sekali, Sarawak, WP Kuala Lumpur, WP Labuan dan WP Putrajaya pula membentuk Kluster 4.

Merujuk kepada Rajah 3, kluster-kluster ini kemudian dibahagikan kepada tiga zon iaitu zon 1, 2 dan 3. Zon 1 dinamakan sebagai Zon Terkawal iaitu terdiri daripada negeri-negeri yang mempunyai bilangan kes baru yang masih terkawal iaitu negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Kedudukan negeri-negeri ini berselerak secara rawak dalam kuadran Zon 1 (Rajah 3) yang menggambarkan bahawa setiap negeri adalah berbeza (distinct) dan statistik kes baru adalah rendah (low). Zon 2 pula dinamakan sebagai Zon Sederhana yang merangkumi negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah.

Merujuk kepada Zon 2 dalam Rajah 3, peningkatan kes baru di negeri-negeri ini hanya berlaku setelah 31 Mac tetapi masih lagi dalam keadaan yang terkawal.

Walau bagaimanapun, kawasan ini berpotensi untuk menjadi zon diluar kawalan sekiranya tiada tindakan serius diambil seperti mempertingkatkan pencegahan virus dan perlaksanaan PKP diperketatkan.

Rajah 3: Kluster berperingkat melalui simulasi FACS untuk negeri-negeri di Malaysia dari 28- Mac hingga 5 April 2020.

Zon 3 adalah Zon Bahaya yang melibatkan sebahagian besar negeri-negeri Pantai Barat Selatan iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, WP Kuala Lumpur, WP Putrajaya, termasuk Sarawak dan WP Labuan. Pada 8 April, sebanyak 23 daerah telah diumumkan berada dalam Zon Merah.

Antaranya adalah Putrajaya, Jasin, Negeri Sembilan, Hulu Langat, Petaling, Johor Bahru, Kuching dan Tawau. Bagi negeri Selangor, Hulu Selangor telah diisytiharkan sebagai Zon Merah yang terakhir pada 10 April. Senarai kawasan Zon Merah yang
dilaporkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan adalah bertepatan dengan dapatan analisis kluster FACS (Rajah 3).

Bagi menyokong dapatan analisis kluster FACS, Carta Palang Berkelompok mengikut negeri, tarikh dan jumlah kes baru diilustrasikan melalui Rajah 4. Carta tersebut menunjukkan bahawa Kuala Lumpur, Johor dan Selangor merupakan negeri yang mencatat bilangan yang tertinggi dalam kelompok Zon Bahaya ini.

Rajah 4 : Bilangan kes baru Covid-19 bagi tempoh 28 Mac hingga 5 April 2020

Sorotan dari dapatan kluster FACS yang diperolehi, Putrajaya iaitu merupakan negeri yang dikategorikan dalam dalam Zon 3 dan diramalkan sebagai Kawasan Bahaya telah diumumkan sebagai Zon Merah pada 6 April 2020. Ini  membuktikan ramalan keadah FACS bertepatan dengan keadaan sebenar. Selain dari itu, FACS juga memperlihatkan kebanyakan negeri-negeri yang berada di bahagian Pantai Barat Selatan diklusterkan dalam zon yang sama.

Maka, strategi pembendungan yang efektif perlu diambil bagi mengelakkan bilangan Zon Merah bertambah. Manakala, negeri-negeri di Kluster 3 (Zon Sederhana) tidak boleh di pandang ringan kerana kedudukan mereka bersebelahan (adjacent) dengan Zon Bahaya serta memiliki ciri-ciri trend yang sama. Bagi memastikan keadaan mereka terus kekal terkawal, pergerakan antara zon-zon ini perlu diperketatkan bagi mengelak penularan ke kawasan ini.

Dapatan Kajian:

Hasil daripada kajian ini kami mencadangkan agar PKP diteruskan dan Pergerakan antara negara mesti dihalang dan adalah lebih baik jika boleh ditutup sepenuhnya. Kemudahan di kawasan sempadan negara serta pintu masuk utama ke negara ini
juga seharusnya tidak sekali-kali dibenarkan atas situasi dan keadaan semasa.

Kerajaan juga harus memberi lebih perhatian kepada negeri-negeri di Kluster 3 kerana negeri-negeri ini berpotensi untuk berpindah ke Zon 3 (bahaya). Selain itu, Zon 2 juga berdekatan dengan Zon 3. Strategi dan kaedah yang diambil untuk memerangi Covid-19 di negeri Kluster 1 perlu dikaji dan dipraktikkan sebaiknya kerana hasil kajian mendapati kaedah ini adalah antara yang terbaik dalam menangani penularan Covid-19. Selain itu, langkah-langkah yang lebih tegas perlu diambil terhadap negeri-negeri di Zon 3 untuk mengekang wabak ini.

Disediakan oleh Pasukan Penyelidik Fuzzy Autocatalytic Set (FACS) Covid-19.

Prof. Dr. Tahir Ahmad (Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM);
Dr. Azmirul Ashaari (Azman Hashim International Business School, UTM);
Dr. Siti Rahmah Awang (Azman Hashim International Business School, UTM);
(Dr.) Siti Salwana Mamat (Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM);
Dr. Wan Munirah Wan Mohamad (Graduan Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM);
Amirul Aizad Ahmad Fuad (Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM) dan
Nurfarhana Hassan (Jabatan Sains Matematik, Fak. Sains, UTM)