Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 21 OGOS 2019

KUALA LUMPUR –  Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR)  sedang menyenaraikan nama-nama individu dan pemimpin yang akan dipecat daripada parti.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim berkata,  senarai nama itu sudah dimuktamadkan dan menunggu kata putus parti.

“Kami telah mengemukakan pelan pemutihan parti pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat  (MPP) yang lalu.

“Oleh kerana suasana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan penularan wabak Covid-19 yang belum reda, maka mesyuarat ini diadakan secara dalam talian dan beberapa perkara tidak dapat dilampirkan seperti kebiasaan, termasuk nama-nama beberapa anggota parti yang Lembaga Disiplin syor untuk dipecat.

“Mesyuarat MPP telah meluluskan sejumlah nama ini untuk di pecat mengikut Fasal 9.1 perlembagaan parti.

“Terdapat juga anggota yang diberi surat tunjuk sebab atau digantung sementara di bawah Fasal 41.6 perlembagaan parti sehingga Lembaga Disiplin selesai menyiasat kesalahan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKR sebelum ini menggantung beberapa keahlian ahlinya dengan alasan membuat pertemuan dengan golongan pengkhianat yang kini meninggalkan parti.

Antaranya, Ketua Wanitanya, Haniza Talha dengan alasan mengadakan pertemuan dengan bekas pemimpin parti itu, Datuk Seri MohamedAzmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Kedua-dua mereka dipecat 24 Februari lalu kerana didakwa khianat kepada parti.

Malah, Naib Presiden PKR, Tian Chua turut diberi surat tunjuk sebab oleh parti.

Sebelum ini, Setiausaha PKR Cabang Batu, Ahmad Azrin mendedahkan Tian Chua digantung keahlian.

Ahmad Kasim turut berkata, kesemua mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri serta akan diberi peluang untuk membuat rayuan mengikut proses biasa disiplin parti.

Dalam pada itu, Ahmad Kasim berkata, parti itu perlu mengambil tindakan keras terhadap mana-mana individu dan pemimpin tertentu yang menentang arus.

Jelas Ahmad Kasim lagi, mereka yang berbuat demikian sudah tentu tahu akan akibat yang akan mereka tanggungnya susulan tindak-tanduk mereka

Mana-mana individu yang telah menyebabkan episod pengkhianatan berlaku juga mengetahui kesan langsung dari tindakannya itu.

Sebahagian mereka telah membuat pengisytiharan secara jelas, manakala sebahagian lagi masih berada dalam parti,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Kasim berkata, tindakan terhadap beberapa pemimpin parti itu adalah wajar dan munasabah bagi memastikan parti itu tidak dikhianati di masa akan datang.

“Amat wajar tindakan tegas diambil terhadap ahli-ahli ini.

Lembaga Disiplin selaku badan yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan disiplin parti terjaga mesti melakukan tugas ini secara tegas,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast