Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), CP Datuk Ramli Haji Din bercakap pada sidang media mengenai kejayaan JSJN membanteras dadah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid- 19 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Penahanan seorang pemandu kereta e-hailing dalam sekatan jalan raya baru-baru ini berjaya menangkap 18 suspek dan merampas sejumlah 14 kilogram dadah dan 205 gram pil ecstasy, sekali gus melumpuhkan satu sindiket dadah.

Semuanya bermula selepas penahanan seorang pemandu e-hailing selepas polis menemui sepaket syabu seberat 1.68 gram di tempat duduk penumpang keretanya.

Pengarahnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Ramli Din berkata, pemandu itu ditahan di Jalan Salak Selaran, Jalan Sungai Besi pada 12 April lalu selepas menemui sepaket plastik yang dipercayai dadah.

Namun, pemandu berkenaan memaklumkan bungkusan itu diterima dari seorang lelaki bernama John di kawasan Cheras yang mahu menghantar bungkusan tersebut kepada seorang lelaki di Taman Salak Selatan.

Hasil daripada maklumat itu, polis melakukan serbuan pertama di alamat penerima berkenaan sebelum berjaya mencekup enam suspek termasuk tiga wanita.

Di lokasi sama, katanya, terdapat juga dua komputer riba dan empat monitor yang sedang menjalankan operasi judi dalam talian menerusi laman sesawang ‘pussy888.com.

Semua peralatan itu bersama 16 kad sim dan 9 telefon bimbit yang digunakan sindiket telah dirampas.

“Operasi kami tidak berakhir setakat itu sahaja apabila dalam siasatan lanjut, kita berjaya menjejaki dan menahan pengirim bungkusan dadah 1.68 gram itu.

”Seramai empat orang suspek termasuk dua wanita ditahan dan dadah seberat 0.6 gram dirampas di sebuah kondominium di Puchong. Kesemua suspek juga positif dadah.

“Seterusnya, kami berjaya mengesan pembekal dan pengirim lalu berjaya menangkap dua lagi lelaki di bandar Kinrara Puchong sebelum merampas 120 gram syabu.

”Hasil soal siasat mendapati mereka adalah pembekal sebelum tangkapan susulan dilakukan dan berjaya merampas 240 pil ecstasy ,” katanya dalam kejayaan narkotik di Bukit Aman.

Ramli memberitahu, suspek berkenaan pula mendedahkan wujud seorang lagi pembekal dadah bernama Michael dan berjaya menahannya pada 15 April lalu di Puchong dan merampas tiga paket plastik syabu anggaran 151 kilogram dan 290 biji ecstasy.

Menurutnya, soal siasatan yang dijalankan ke atas Michael pula mendedahkan penglibatan seorang lagi individu bernama Jefri.

”Polis berjaya mengesan Jefri pada hari yang sama di Wangsa Melawati sebelum dia ditangkap bersama seorang wanita dan menemui syabu seberat 13.9 kilogram.

“Ia adalah rampasan terbesar rentetan daripada penemuan 1.68 gram syabu daripada pemandu e-hailing.

Susulan dari itu, tambah beliau, semalam polis berjaya menemui 13.9 kg syabu dengan penahanan seorang lagi wanita berumur 29 tahun di sebuah apartmen, sekali gus melumpuhkan rangkaian sindiket tersebut.

Menurutnya, polis kini masih memburu pembekal syabu seberat 13.9 kg yang dimiliki oleh Jefri,” katanya. – MalaysiaGazette