Ibu pejabat OPEC di Vienna. foto Agensi

LONDON – OPEC menyemak semula unjuran tahun ini dengan menurunkan permintaan global disebabkan ‘kejutan’ akibat penularan wabak koronavirus.

Katanya, pengurangan permintaan minyak dijangka tidak berakhir.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) itu menjangkakan permintaan ke atas minyak global menjunam sebanyak 6.9 juta tong sehari atau 6.9% pada tahun ini.

Bulan lalu, OPEC mengunjurkan terdapat kenaikan kecil dalam permintaan iaitu sebanyak 60,000 tong sehari.

“Pada saat ini pasaran minyak mengalami kejutan secara tiba-tiba, ekstrem dan pada skala global,” kata OPEC dalam laporan bulanannya.

Menurutnya, risiko penurunan tetap signifikan, menunjukkan kemungkinan pada suku kedua.

Harga minyak merudum pada tahun ini disebabkan oleh penurunan permintaan, jatuh ke paras terendah 18 tahun kepada AS$ 21.65 setong pada 30 Mac lalu.

Dalam usaha memperbaiki harga dan pasaran, OPEC, Rusia dan negara-negara pengeluar lain telah sepakat untuk memotong bekalan.

OPEC menjangkakan penurunan permintaan bulan ini adalah yang terbesar, menyaksikan penguncupan 20 juta tong sehari.

Minyak mentah diniagakan di atas paras AS$ 28 setong selepas OPEC mengeluarkan laporan, mengimbangi kenaikan sebelumnya.

Walaupun begitu, OPEC menjangkakan kesan jangka pendek yang lebih kecil terhadap permintaan daripada Badan Tenaga Antarabangsa, yang pada hari Rabu meramalkan penurunan 29 juta tong sehari pada bulan April – tahap yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 25 tahun. – MalaysiaGazette