KUALA LUMPUR – Zoo Negara jimat RM300,000 dalam perbelanjaan bekalan makanan untuk bulan April susulan sumbangan daripada orang awam yang tidak pernah putus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Pengarah Veterinar Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli.
Keadaan ini membuktikan orang ramai cukup prihatin terhadap kebajikan haiwan di zoo tersebut.
“Bekalan tidak ada masalah. Pembelian kita sedikit sahaja sekarang sebab banyak kita dapat daripada orang awam, terlalu banyak. Kita ucapkan terima kasih.
“Keprihatinan orang awam terlalu besar sekarang, bersama-sama berkongsi dengan zoo.
“Bulan ini makanan kalau ikut kos RM350,000 sebulan tetapi kita hanya belanja RM50,000 sahaja,” katanya ketika ditemui semasa operasi nyah kuman oleh beberapa agensi hari ini.
PKP telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu sehingga kini telah memasuki fasa ketiga bukan sahaja memberi kesan kepada pengusaha perniagaan dan orang persendirian sahaja.
Malah, Zoo Negara yang sebelum ini meraih pendapatan menerusi hasil jualan tiket turut terjejas.
Oleh sebab itu, Zoo Negara mempromosikan kempen haiwan angkat sebagai salah satu usaha untuk memastikan bekalan makanan, perubatan dan pengurusan haiwan-haiwan ini terbela.
Menerusi kempen ini, orang ramai boleh memilih sama ada mahu memberi sumbangan secara one off atau secara bulanan, mengikut pakej yang tersedia.
Mereka yang memberi sumbangan akan dihadiahkan e-sijil yang akan turut dicatiatkan dengan nama haiwan yang dipilih.
Malah nama penyumbang juga akan dipamerkan di laman web Zoo Negara.
Mengulas lanjut, Mat Naim berkata, kempen tersebut menerima sambutan memberangsangkan.
Sebanyak RM2 juta wang tunai disumbangkan menerusi kempen haiwan anak angkat.
“Satu orang mungkin derma RM50 tapi jumlahnya tinggi, 20,000 hingga 30,000 penderma menerusi kempen itu,” tambah beliau. -MalaysiaGazette