SIC beri tumpuan kepada Motor GP.-Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mohd Azhan Shafriman Haniff tidak menolak kemungkinannya sukan permotoran tersohor dunia Formula 1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) suatu hari nanti.

Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif SIC itu berkata, tumpuan utama beliau sekarang adalah untuk bagaimana mempromosikan dan mempopularkan sukan motor GP di negara ini.

Katanya, F1 telah diperkenalkan di negara ini pada tahun 1990-an di bawah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meletakkan Malaysia di peta sukan dunia.

“Malahan kita tahu sejauh mana sukan itu telah memahat nama di tanahair dan juga disegani pelumba F1 terkemuka dunia termasuk manfaat yang dicapai negara dari segi pendapatan ekonomi tetapi terpaksa tarik diri dari kalender atas faktor kos kewangan dan kedudukan ekonomi.

“Saya tidak rule out the possiblities of bring back it. Ramai peminat apatah saya sendiri minat F1 dan hendak ia dikembalikan. Jika tawaran FIA menarik dan kita rasa bersedia untuk menyertai kalender itu bersedia berbincang.

“Kalaulah katakan dalam masa setahun atau dua tiga tahun lagi boleh dikembalikan keputusan itu akan akan dibincangkan dengan kerajan kerana kos penganjurannya bukan murah walhal setiap dolar yang dibelanjakan perlu memastikan membawa pulangan hasil kepada negara,” katanya dalam sesi bersantai dengan pemberita sukan dalam Googlehangout hari ini.

Sementara itu, bagi mempromosi dan mengangkat Motor GP di SIC, ia dilihat membantu melahirkan lebih ramai bakat muda tempatan.

Sambil mengakui ia satu perkara yang mencabar, katanya, sembilan daripada 10 orang di luar sudah mengenali sukan motor GP dan berpendapat tiba masanya untuk memberi tumpuan membangunkannya.

“Saya bersedia bincang dengan semua pemain industri motor GP dan penaja bagaimana untuk menjadikan penjenamaan Malaysia dalam sukan permotoran GP seperti F1 sebelum ini.

“Kita boleh membawa jauh dalam Motor GP dan sudah pasti ada kaedah jalan untuk kita mempopularkan lagi sukan Motor GP ini, tegasnya.-MalaysiaGazette