Ketua Tukang Masak Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Zainal Abidin Abdul Hamid, 65 berehat seketika selepas selesai mengemas periuk yang digunakan untuk memasak bubur lambuk tersebut semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Masjid Jamek Kampung Baru sering menjadi tumpuan umat Islam di ibu kota pada setiap bulan Ramadan untuk mendapatkan bubur lambuk.

Kebiasaannya bubur lambuk itu akan diedarkan selepas solat Asar dan suasana meriah dapat dilihat apabila orang ramai beratur panjang mengambil giliran bagi mendapatkan makanan yang menjadi kegemaran peminatnya sebagai juadah berbuka puasa.

Bagaimanapun, kemeriahan itu tidak dapat dilihat tahun ini apabila pihak pengurusan masjid berkenaan membuat keputusan untuk tidak mengadakan aktiviti mengedar bubur lambuk susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Tinjauan MalaysiaGazette ke dapur Masjid Jamek Kampung Baru mendapati, puluhan periuk yang digunakan untuk memasak bubur lambuk bersusun di atas tungku dapur dalam keadaan diterbalikkan.

Ketua Tukang Masak Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Zainal Abidin Abdul Hamid, 65 berehat seketika selepas selesai mengemas periuk yang digunakan untuk memasak bubur lambuk tersebut semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2020

Menurut Ketua Tukang Masak, Zainal Abidin Abdul Hamid, 65, biasanya perkakasan dan peralatan yang hendak diguna untuk menyedia bubur berkenaan sudah siap diatur dan dibersihkan sejak awal lagi.

Katanya, ini merupakan kali pertama bubur lambuk tidak dapat diedarkan kepada orang ramai khususnya penggemar makanan itu.

Mengakui sedih dengan keadaan itu, Zainal yang merupakan tukang masak bubur lambuk di masjid berkenaan untuk generasi keempat menyatakan, sudah ramai yang bertanyakan kepada beliau berhubung pengedaran makanan itu untuk tahun ini.

“Tahun ini saya sedih sebab orang tak dapat menikmati bubur lambuk.

“Biasanya kalau bulan puasa ni orang ramai akan tahu bubur lambuk Kampung Baru ni. Mereka nak dapatkan keenakkan bubur lambuk yang dimasak di sini.

“Pihak masjid akur dengan keputusan kerajaan untuk bubur lambuk ini dibatalkan. Nampaknya tahun ini tak bolehlah kita nak sediakan,” katanya yang telah menjadi tukang masak bubur lambuk di masjid berkenaan sejak 37 tahun lalu.

Zainal berkata, meskipun banyak pihak yang menghubungi pengurusan masjid untuk menaja bumbur lambuk dengan menghulur sumbangan namun, ia terpaksa ditolak ekoran bagi menghormati perintah kerajaan itu.

Ketua Tukang Masak Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Zainal Abidin Abdul Hamid, 65 menyusun periuk yang digunakan untuk memasak bubur lambuk tersebut semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2020

Kebiasaannya kata beliau, bahan-bahan yang digunakan untuk membuat bubur lambuk sudah dihantar oleh penaja seminggu sebelum menjelangnya Ramadan dan perkara itu akan terus berlarutan sehingga diakhir bukan berkenaan.

Ujarnya, dalam sehari beliau akan menyediakan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 periuk besar bubur lambuk dengan dibantu oleh lapan orang pembantu.

Kuantiti bubur lambuk yang hendak dimasak juga bergantung kepada jumlah pihak yang ingin menaja program lambuk berkenaan dan jika tidak ada ia disediakan sendiri oleh pihak masjid.

“Dalam sehari kita biasa sediakan 4,000 bungkus untuk diagih-agih kepada orang ramai yang datang.

Zainal turut meminta orang ramai supaya bersabar dan redha dengan apa yang berlaku ketika ini.

“Saya rasa hampa juga dan kasihan bila ada yang kecewa tidak ada bubur lambuk yang disediakan oleh kami pada tahun ini,” jelasnya.

Ketua Tukang Masak Bubur Lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Zainal Abidin Abdul Hamid, 65 berehat seketika selepas selesai mengemas periuk yang digunakan untuk memasak bubur lambuk tersebut semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 APRIL 2020

“Ramai yang datang kepada mengatakan tidak sempurna berbuka jika tidak ada bubur lambuk diatas meja ketika berbuka puasa.

“Kita berserahlah kepada tuhan, berdoa banyak-banyak minta padanya supaya penyakit ini dihapuskan.

“Insyaallah, tahun depan kita akan adakan balik sumbangan bubur lambuk ini untuk semua orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, untuk tidak menghampakan penggemar bubur lambuk Kampung Baru, Zainal berkata, beliau ada mengambil tempahan sendiri yang dimasak dirumahnya.

Katanya, setiap bungkus bubur lambuk dijual pada harga RM2.50 manakala, bagi yang menginginkan bubur berkenaan dalam jumlah yang banya beliau mengambil bayaran pada kadar RM600 untuk tempahan bagi satu periuk besar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast