Wan Azieda Abdul Rahim (kanan) bersama anaknya, Azieza Mansur Williams ketika hari graduasinya di University of Georgia tahun 2019.

KUALA LUMPUR – Nasib rakyat Malaysia jauh lebih baik berbanding rakyat yang menetap di Amerika Syarikat (AS) jika dibandingkan dari sudut penerimaan bantuan kesihatan  terutama ketika penularan Covid-19.

Ini kerana, rakyat di negara itu yang berumur 65 tahun ke bawah perlu memiliki insurans perubatan untuk menerima apa-apa perkhidmatan perubatan walaupun dalam kes kecemasan dan pemeriksaan kesihatan biasa.

Kerajaan AS hanya menyediakan bantuan insuran perubatan atau Medicaid bagi mereka yang pernah mencarum faedah pekerja dan berusia 65 tahun ke atas sahaja.

Rekod kematian akibat Covid-19 di Georgia, salah satu daripada 51 negeri di AS sudah mencecah 668 kematian pada 18 April lalu sejak kes kematian pertama hujung Februari lalu.

Kebanyakan kes kematian Covid-19 yang dilaporkan adalah berusia antara 50 tahun hingga 60 tahun.

Mereka memiliki penyakit kronik seperti diabetes tetapi tidak memiliki insuran atau juga kelayakan Medicaid yang menyebabkan mereka tidak mendapat rawatan peringkat awal sehingga menemui ajal.

Kisah satu keluarga miskin yang tidak memiliki insuran akhirnya meninggal dunia seorang demi seorang setelah dijangkiti Covid-19, di Selatan Georgia masih diingati penduduk wilayah itu tidak terkecuali rakyat Malaysia yang kini mendapat status Permastautinan Tetap (PR) di AS.

Wan Azieda Abdul Rahim, 58, berkata, tanpa insuran perubatan mana-mana rakyat, PR atau pemegang permit kerja tidak dapat menerima bantuan perubatan walaupun disyaki sudah membawa simptom Covid-19.

Katanya, semua orang di Georgia boleh membeli insuran perubatan di bawah Affordable Care Act bagaimanapun kadar premium untuk individu terlalu tinggi.

“Menerusi akta ini sesiapa berpendapatan tahunan antara USD 12,900 hingga USD 28,000 layak mendapat bantuan kredit cukai untuk membiayai kos premium mereka.

“Kurang daripada pendapatan USD 12,900 tidak layak terima kredit cukai untuk meringankan pembiayaan kos premium berkenaan. Uniknya di sini, sesiapa sahaja boleh memiliki insuran walaupun ada rekod kesihatan yang kritikal seperti penyakit jantung dan sebagainya.

“Sebagai pekerja sepenuh masa di kedai keperluan harian, Home Depot saya layak menerima insuran yang disediakan majikan, dan saya perlu bekerja untuk mendapat manfaat ini serta menampung kehidupan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Wan Azieda (kiri) di tempat kerjanya di Home Depot, Georgia, Amerika Syarikat.

Tambah Wan Azieda, rata-rata rakyat Georgia bekerja lebih dua pekerjaan untuk memiliki insuran dan menampung kos sara hidup yang tinggi.

“Saya sendiri memiliki dua pekerjaan di Home Depot dan di pusat beli belah Marshalls, bekerja 55 jam seminggu tetapi malangnya Marshalls terpaksa ditutup kerana ia bukan perniagaan untuk keperluan harian.

“Tidak dapat dibayangkan rakan-rakan yang hilang pekerjaan, bagaimana mereka mahu membayar insuran secara bulanan.

“Malah di AS dianggarkan 22 juta hilang pekerjaan sejak penularan wabak ini dan sedang memohon bantuan unemployment income yang disediakan kerajaan.

“Bagaimanapun pada 15 April lalu, kerajaan menyalurkan insentif sebanyak USD 1,200 kepada semua pembayar cukai bagi meringankan beban masing-masing,” katanya lagi.

Azieda yang berasal dari Kuala Lumpur berhijrah ke AS sejak tahun 2003 serta memiliki dua anak hasil perkahwinan rakyat di negara itu.

Bagaimanapun suaminya sudah meninggal dunia dan dia memutuskan untuk meneruskan kehidupan di sana.

Bagaimanapun setelah penularan pandemik yang membunuh hampir 30,000 rakyat AS, Shelter In Place dilaksanakan di negara itu yang mirip kepada perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia menyebabkan banyak industri kerja tutup.

“Kerana pasar raya Marshalls ditutup, saya terpaksa berharap sepenuhnya pendapatan di Home Depot, saya bersyukur kerana majikan menyediakan bonus Covid-19 yang agak lumayan sepanjang krisis ini.

“Majikan seperti Marshalls juga membenarkan mana-mana staff untuk bercuti tanpa gaji dan dibenarkan untuk memasuki kerja pada bila-bila masa,” katanya.

“Bezanya suasana PKP di sini tidak seketat di Malaysia. Di sini masih dibenarkan satu keluarga keluar membeli barang keperluan, tidak diwajibkan pemakaian topeng muka dan sarung tangan.

“Masih ada lagi yang keluar minum selepas jam 6 petang dan belum ada lagi tangkapan kerana langgar PKP, polis di sini juga menjaga diri masing-masing bimbang dijangkiti,” katanya.

Bagaimanapun, rakyat di Georgia amat menjaga jarak antara satu sama lain malah staf di Home Depot mengenakan lencana tertulis 2 metre away, please untuk mengingatkan pelanggan.

“Sebagai langkah pencegahan jangkitan kerana saya juga frontliner, saya mengamalkan ramuan tradisional untuk meningkatkan imunisasi badan.

“Ada pusat beli belah yang hanya membenarkan 25 pelanggan masuk dalam satu tempoh manakala di Home Depot menerima 150 pelanggan dalam satu masa, jumlah itu terserah kepada majikan masing-masing.

“Pembersihan nyahkuman juga kerap dilakukan bagi mengekang penularan pandemik di dalam bangunan,” katanya.

Azieda turut berkongsi kisah rakan bukan Islam yang meluahkan pendapat mengenai hikmah Covid-19 adalah cara tuhan membersihkan dosa dan kekotoran yang dilakukan manusia.

“Walaupun azan di masjid tidak dipasang kuat tetapi pandangan rakyat Georgia terhadap Islam mula berubah, mereka tidak lagi melihat agama ini sebagai ancaman tetapi sesuatu yang amat penting dalam kehidupan,” katanya di Georgia terdapat 112 buah masjid yang besar dan cantik.

Namun, wujud sikap baru iaitu diskriminasi terhadap orang China di negara ini mungkin mereka menganggap negara itu sebagai negara punca berlakunya wabak yang membunuh ramai orang.

“Bagaimanapun saya bersama anak-anak sentiasa menasihati antara satu sama lain untuk saling menghormati dan mengambil hikmah yang lebih besar di sebalik musibah ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast