Permandangan udara menunjukkan keadaan Jalan Tunku Abdul Rahman yang lengang semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan berikutan jangkitan wabak Covid-19 koronavirus di sekitar kawasan Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 19 MAC 2020

PETALING JAYA – Kerajaan mampu mendepani harga minyak mentah dunia yang tidak menentu kerana ekonomi negara adalah cukup pelbagai untuk menahan hentaman global itu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, hasil daripada minyak dan sektor berkaitan dengannya menyumbang kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada pendapatan Malaysia.

“Walaupun berlaku perubahan pada harga minyak mentah global, kami masih mempunyai ekonomi yang cukup pelbagai untuk memperlahankan dan mendepani hentaman daripada gelombang ini.

“Kementerian Kewangan pada masa depan akan menjalankan dasar kewangan dan mata wang yang berpatutan untuk memastikan pemulihan ekonomi, kami juga akan mempertimbangkan reformasi struktur untuk memastikan kepelbagaian ekonomi menjadi lebih baik,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau berkata, Malaysia pada masa ini tidak akan menggunakan rizab pertukaran asing untuk menjalankan pakej rangsangan ekonomi.

“Untuk memastikan modal yang mencukupi untuk pakej rangsangan ekonomi, kerajaan meminta sesetengah syarikat milik kerajaan (GLC) untuk membayar dividen lebih tinggi kepada kerajaan daripada keuntungan mereka.

“Selain itu, aliran dalam negara adalah besar, pinjaman boleh diberikan kepada kerajaan untuk menggerakkan pakej rangsangan ekonomi masa depan sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan berusaha mempertahankan mata pencarian dan juga nyawa rakyat, tetapi usaha itu tidak akan berhasil jika rakyat dan korporat tidak memainkan peranan masing-masing.

Tegas Menteri Kewangan, pemulihan ekonomi negara pada tahun ini amat bergantung kepada tahap kejayaan dan kelajuan dalam mengawal wabak COVID-19.

“Kita sedang berperang dengan satu kuasa yang tidak kelihatan. Walaupun ia tidak boleh dilihat, tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengalahkannya,” katanya kepada Sinchew Daily.

Tengku Zafrul berpendapat, walaupun Malaysia boleh melihat tanda-tanda pemulihan ekonomi seawal separuh tahun kedua 2020 dan “lonjakan” pada 2021, tetapi kerajaan perlu melakukan persiapan untuk yang lebih buruk berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu.

“Masa depan mungkin mengecewakan buat ramai orang, tetapi saya boleh bercakap bahawa kita mempunyai ruang kewangan dan kekuatan untuk mendepani keadaan tidak menentu pada masa depan.

“Kerajaan sedar kita perlu bertindak segera dan secara cergas. Kami mempunyai institusi kewangan yang stabil, aliran yang tinggi dan kekuatan untuk menghadapi hentaman,” katanya.

Menurutnya lagi, tidak kira mahu atau tidak, wabak COVID-19 telah membawa “tabiat baharu” tidak kira dalam kehidupan bersosial, belajar atau bekerja.

“Kesannya terhadap ekonomi, sektor industri dan korporat adalah tidak jelas lagi, pemulihan ekonomi pula bergantung kepada berapa lama wabak ini akan terus mengganas dan bilakah vaksin akan ditemui.

“Satu perkara yang pasti, krisis kesihatan global ini telah mempercepatkan proses pendigitalan ekonomi,” katanya sambil menegaskan kepentingan menarik pelaburan asing dalam ekonomi digital. – MalaysiaGazette