Para sukarelawan yang disertai petugas-petugas Hotel Casuarina menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima daripada keluarga kurang berkemampuan di Ipoh semalam.

IPOH – Sebanyak 50 keluarga kurang berkemampuan yang terkesan ekoran pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19 menerima sumbangan daripada Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Masyarakat Prihatin Perak (Ukhuwah) semalam.

Kali ini, program kebajikan tersebut turut dijayakan bersama para petugas Hotel Casuarina@Meru di sini sebagai salah satu program kesukarelawan.

Misi yang bermula pada pukul 11 pagi itu berakhir kira-kira lapan jam kemudian.

Pengerusi Ukhuwah, Norhaslinda Zakaria berkata, barang-barang keperluan harian ini disampaikan kepada keluarga yang telah dikenal pasti yang memerlukan sumbangan bagi meringankan beban kewangan mereka.

Norhaslinda (depan, kanan) bergambar bersama petugas-petugas Hotel Casuarina yang menjayakan misi agihan bantuan sumbangan kepada keluarg kurang berkemampuan di Ipoh semalam.

Menurut beliau, setiap keluarga turut menerima sumbangan seperti ayam dan ikan.

“Pada kali ini kita memberi tumpuan kepada para penerima di Chepor, Chemorm, Meru, Botani, Mengelembu dan Sungai Siput.

“Bagi melancarkan agihan, saya bersama tujuh sukarelawan telah berpecah kepada empat kumpulan bagi mempercepatkan lagi kerja-kerja selain perlu mematuhi tatacara yang ditetapkan pihak berkuasa semasa PKP ini,” ujarnya.

Norhaslinda yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Hotel Casuarina@Meru memberitahu, penyertaan petugas-petugas hotel berkenaan juga dipuji apabila secara sukarela menyumbangkan tenaga bagi menjayakan misi tersebut.

Katanya lagi, taklimat persediaan turut disampaikan kepada para sukarela ini selain dibekalkan dengan topeng penutup mulut, sarung tangan dan hand sanitizer sebagai langkah keselamatan semasa menyerahkan barang-barang.

“Disebabkan hotel ditutup manakala petugas bercuti berikutan arahan PKP, ramai dalam kalangan mereka menyatakan keinginan untuk membantu Ukhuwah sekiranya diperlukan.

“Kebetulan Ukhuwah berhadapan dengan kekurangan tenaga sukarelawan disebabkan PKP kerana ada ahli-ahli kami yang berada di luar Perak, jadi kesudian petugas-petugas Hotel Casuarina@Meru untuk membantu amatlah dihargai,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak Ukhuwah juga amat mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan agar bantuan seumpamanya dapat diteruskan sekali gus menyantuni lebih ramai keluarga kurang berkemampuan yang terjejas.

Mereka yang ingin menyumbang bagi menjayakan misi murni ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Pertubuhan Kebajikan Ukhuwah Masyarakat Prihatin Perak (Bank Islam) bernombor 08095 01 001070 0.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast