KUALA LUMPUR – Pengendali pasaran e-dagang sosial Fingo Group Ltd menerusi anak syarikatnya, Fingo Malaysia Sdn Bhd, berjaya mencatat peningkatan jualan dalam talian sebanyak 150 peratus hingga 200 peratus sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu berbanding bulan sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Jack Yi berkata, pencapaian itu membuktikan populariti aplikasi beli-belah dalam talian Fingo berikutan kemudahan serta penjimatan yang ditawarkan.
“Kami percaya e-dagang sosial itu tidak hanya unik dari segi meningkatkan pengalaman beli-belah dalam talian, tetapi turut menjadi satu gaya hidup yang menghubungkan orang ramai.
“Dalam krisis global ini, Fingo juga seiring dengan Malaysia bagi memastikan kestabilan perkhidmatan beli-belah dalam talian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fingo kini berada di landasan tepat dengan mempunyai keahlian lebih 5,000,000 pengguna dalam tempoh hanya 12 bulan di pasaran.
Bilangan itu termasuk lebih 500,000 pembeli utama yang boleh meraih pendapatan menarik dari Fingo menerusi sistem unik perolehan semula tunai sepanjang tempoh pandemik itu.
Jack Yi menambah lagi, Fingo turut memperkenalkan dasar yang lebih istimewa untuk membantu golongan muda untuk menerokai bidang keusahawanan atas talian.
“Kami sangat gembira dapat membantu orang ramai yang berdepan kesukaran dengan menyediakan platform keusahawanan atas talian yang lebih mudah,” katanya.
Di samping itu, Jack Yi berkata, Fingo menjanjikan berita baik untuk pembekal tempatan kerana kini menawarkan lebih daripada 100,000 produk kepada pelanggannya dengan nisbah 20 peratus.
Menurutnya, Fingo akan mewujudkan lebih banyak perkongsian dengan jenama tempatan melalui Persatuan Perdagang China untuk terus meningkatkan nisbah tersebut.
“Dengan rangkaian rentas sempadan ASEAN yang luas, e-dagang Fingo Group Limited bertujuan untuk mempromosikan peniaga dan pengeluar Malaysia ke seluruh pasaran atas talian di rantau ini.
“Dengan menyambung ke rangkaian sosial utama Whatsapp, Facebook dan Instragram, Fingo akan terus mengembangkan liputan perniagaan dan pengguna.
“Matlamat Fingo adalah untuk meneruskan secara aktif meneroka pasaran e-dagang yang sentiasa berkembang dan memanfaatkan peluang perniagaan yang besar di rantau ASEAN,” katanya. – MalaysiaGazette