Pegawai Kesihatan Persekitaran Hospital Sungai Buloh, Kamarul Faizal Tajaruddin.

KUALA LUMPUR – Keadaan pada awalnya kelihatan tenang apabila petugas membawa masuk waris arwah ke bilik pemerhatian.

Namun sebaik zip beg mayat dibuka bagi tujuan pengecaman, keadaan bertukar menjadi hiba dengan tangisan waris arwah yang terdiri daripada anak-anak lelaki dan isterinya.

Mereka cuma mampu melihat wajah jenazah bapa dan suami di sebalik bilik kaca yang memisahkan antara bilik pemerhati dan bilik mandi mayat tanpa mampu untuk menyentuh, mengusap dan mengucup wajah ketua keluarga mereka.

Ini adalah satu daripada antara kisah kematian pesakit Covid-19 daripada kluster Sri Petaling melibatkan jemaah tabligh yang menyumbang kepada statistik kematian kes Covid-19 di seluruh negara.

Bayangkan, kira-kira 20 hari lalu si ayah dibawa pergi sebuah ambulans dari rumah pada waktu malam hari setelah arwah disahkan positif Covid-19.

Tiada sentuhan, pelukan anak isteri, cuma senyuman dan lambaian dari mangsa kepada keluarganya ketika itu.

Ini kerana prosedur jabatan kesihatan, sepanjang tempoh kuarantin dan rawatan, ahli keluarga tidak dibenarkan melawat pesakit Covid-19 dan hanya dibenarkan berjumpa semula selepas discaj.

Setelah dimasukkan di wad status pemeriksaan kesihatan ke atas paru-paru pada hari ke enam didapati sudah dipenuhi virus merbahaya itu ditambah pula pesakit pada sebelum ini disahkan menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.

Penyakit sedia ada kepada pesakit itu menjadikan usaha menyelamatkannya amat nipis.

Pesakit berusia 70-an itu kemudiannya ‘ditidurkan’ di wad jagaan rapi (ICU) kerana tidak mahu dia ‘terseksa’ jika dipasang alat bantuan pernafasan bagi membantunya untuk bernafas dalam keadaan paru-paru yang lemah.

Menceritakan kembali kisah itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Hospital Sungai Buloh, Kamarul Faizal Tajaruddin yang ditugaskan untuk memantau dan menyelia operasi pengurusan jenazah itu berkata, pesakit kemudiannya menghembuskan nafas terakhir seelpas 14 hari di wad ICU.

Graduan berkelulusan Ijazah Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan dari Universiti Putra Malaysia itu berkata, sebaik pesakit disahkan meninggal dunia, urusan dokumen seperti surat daftar kematian dan permit kubur kepada pihak polis akan diuruskan oleh petugas di wad.

“Bagi kes kematian pesakit Covid-19 di hospital, bedah siasat tidak diperlukan kerana rekod pemeriksaan dan perubatan sudah mengesahkan punca kematian.

“Pakaian terakhir yang dipakai oleh pesakit yang meninggal dunia tidak ditanggal dari tubuhnya dan cadarnya (linen) untuk alas tilamnya digunakan sebagai lapisan pertama membalut tubuh mayat dan selepas itu cecair nyahkuman (sodium hipoklorat 0.5 peratus atau dikenali sebagai klorox) disembur ke atas linen yang membaluti jenazah.

“Selepas jenazah dibungkus atau dibalut dengan linen, beg mayat pertama akan disembur dengan larutan yang sama untuk diisikan jenazah sebagai pembungkusan kedua.

“Beg mayat diperbuat dari material yang tidak mudah koyak dan kalis air. Selepas itu beg mayat kedua yang juga disembur akan digunakan sebagai pembungkusan ketiga sebelum dibawa ke bilik mayat untuk ditempatkan sementara menunggu waris hadir untuk proses pengecaman mayat,” katanya.

Sebelum itu, proses dokumentasi yang dilakukan oleh Pegawai Diberi Kuasa (PDK) iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran perlu dilengkapkan oleh waris untuk pelepasan mayat.

Dokumen itu merujuk kepada Jadual ke-6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu Surat Akujanji Untuk Pemindahan Mayat atau Mana-Mana Bahagiannya dan juga Notis Penyerahan Mayat atau Mana-Mana Bahagiannya yang Mati Disebabkan oleh Penyakit Berjangkit.

Kedua-dua dokumen itu ditandatangani oleh PDK yang bertugas, katanya.

Katanya lagi, jenazah kemudian dipindahkan ke bilik bercermin di mana waris hanya boleh melihatnya dari luar.

“Proses pengecaman paling emosi, suasana hiba memenuhi ruang kerana kali terakhir mereka melihat arwah dibawa pergi menaiki ambulan tetapi kini dipanggil ke hospital dan terpaksa menatap wajah kaku yang meninggalkan mereka selama-lamanya.

“Saya biasanya akan menenangkan dengan minta mereka membaca al-Fatihah dan meminta mereka memperbanyakkan doa untuk kebaikan arwah dan reda dengan pemergiannya, ia saat paling sukar tetapi perlu dilalui,” katanya.

“Sebaik waris melakukan pengecaman, zip beg mayat akan ditutup. Beg yang berisi jenazah kemudiannya akan ditayammun dengan debu akan sapu ke plastik di bahagian muka dan tangan.

“Debu tidak akan bersentuhan terus dengan jenazah. Usai proses tayammun, jenazah akan dikapankan seperti biasa dan sekali lagi semburan nyahkuman dibuat ke atas kain kapan yang membalut tubuh jenazah.

“Hanya lima petugas dihadkan dalam satu-satu masa dilengkapi PPE penuh secara donning dibenarkan berada dalam bilik. Selesai itu, petugas akan melakukan solat jenazah di dalam bilik mandian. Waris yang berada di luar bilik pemerhati boleh solat jika berwuduk dan jika tidak berkesempatan boleh melakukan solat jenazah ghaib buat arwah.

“Asalnya, solat jenazah dibolehkan untuk turut disertai waris di bilik mandian mayat namun peraturan telah dipinda bagi meminimakan risiko pendedahan ke atas orang lain.

“Kita tidak tahu bagaimana mod transmisi sebenarnya. Justeru adalah lebih baik pendekatan pencegahan diambil,” katanya lagi.

Katanya, jenazah kemudian dibawa menaiki van jenazah sambil diiringi oleh seorang petugas dari hospital ke tapak pengkebumian di tanah perkuburan yang diwartakan. Proses nyahkuman dilakukan di liang lahad sebelum keranda diturunkan.

“Hanya empat ahli keluarga lengkap PPE, dua tukang gali kubur dan seorang pembaca talkin dibenarkan berada di tapak pengebumian. Sepanjang proses pengebumian, ia akan dipantau oleh PDK dari Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran. Proses ini dilakukan dengan teliti.

“Ahli keluarga yang lain cuma mampu untuk melihat dari jauh sahaja, suasana menyayat hati dan menginsafkan tetapi ia adalah ketetapan dan takdir Tuhan yang perlu redai,” katanya.

Kamarul sebelum ini bertugas selama tiga tahun di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang turut ditugaskan untuk melakukan verifikasi dan penyiasatan ke atas alamat terkini pesakit, nombor telefon pesakit dan waris, onset atau permulaan rasa tidak sihat atau bersimptom, sejarah pergerakan dan kontak rapat.

Katanya, maklumat yang lengkap dan tepat perlu disalurkan ke PKD bagi memudahkan proses pemantauan di daerah jika mereka discaj selepas 14 hari ditahan dari wad atau pusat isolasi.

“Pemantauan peringkat daerah dibuat oleh anggota kesihatan PKD berkenaan selepas mereka menerima Perintah Seksyen 15 yang memerlukan mereka untuk menjalani lagi tempoh kuarantin di rumah atau home Isolation order (HIO).

“Maklumat seperti butiran dan alamat pesakit turut dikongsi bersama pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia). Polis turut menggunakan akta yang sama dan dibaca bersama Akta Polis 1967 ketika melakukan tindakan penguatkuasaan dan menyertai pemantauan yang sama.

“Kegagalan untuk mematuhi Perintah kuarantin di rumah seperti keluar dari rumah akan menyebabkan mereka ini berhadapan dengan tindakan perundangan. Ini penting dalam memastikan risiko penularan jangkitan dapat diputuskan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast