JOHOR BAHRU – Keseronokan 20 individu yang leka berhibur dalam parti liar sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berpanjangan apabila ditahan dalam beberapa serbuan polis.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata serbuan pertama dilakukan di sebuah kediaman yang dijadikan inap desa di Masai di sini pada kira-kira 11.30 malam dan hasilnya empat lelaki berusia lingkungan 27 tahun ditahan.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka bukan penghuni premis itu serta gagal memberi alasan munasabah untuk berkumpul,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua, iaitu di sebuah unit pangsapuri di Johor Bahru, pada awal pagi semalam pula, polis menahan lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 21 dan 26 tahun serta merampas dadah disyaki jenis ketamin seberat 0.5 gram.

Empat daripada mereka positif dadah jenis ketamin manakala dua lagi positif metamfetamin dan dua daripada suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah, katanya sambil menjelaskan bahawa mereka bukan penghuni premis berkenaan.

Ayob berkata serbuan seterusnya (ketiga) pula dijalankan terhadap sebuah inap desa di Johor Bahru pada 1 pagi tadi dan polis menahan sembilan individu yang terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun.

“Hasil saringan mendapati lima daripada mereka positif dadah jenis ketamin dan THC selain dua orang mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya sambil menambah bahawa kesemua mereka kini direman untuk siasatan.

Sementara itu, di LANGKAWI, lima orang ditahan petang tadi selepas polis menyerbu dua premis perniagaan di Pusat Dagangan dan Pelancongan Kelana Mas, Jalan Persiaran Putra di sini selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran dalam tempoh PKP.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintenden Mohd Iqbal Ibrahim berkata tiga orang ditahan dalam serbuan di sebuah premis menjual telefon dan aksesori telekomunikasi manakala dua lagi di premis menjual cecair berperisa untuk rokok elektronik.- BERNAMA