SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menerima rawatan setelah menjalani prosedur kardiovaskular awal bulan ini, kata laporan media Korea Selatan.
Laporan itu didedahkan di tengah-tengah spekulasi mengenai kesihatan Kim selepas kelibatnya tidak kelihatan semasa acara memperingati datuknya, Kim Kim II Sung.
Acara memperingati itu disambut pada 15 April dan Kim tidak hadir.
Daily NK, sebuah laman web yang dikendalikan oleh kebanyakan pembelot Korea Utara memetik sumber sebagai berkata, Kim sedang menjalani proses pemulihan di sebuah vila di daerah resort Gunung Kumgang Hyangsan di pantai timur setelah menjalani prosedur pada 12 April lalu.
Kementerian Penyatuan Korea Selatan, yang menangani urusan antara Korea, enggan mengulas mengenai laporan tersebut.
Kesihatan Kim merosot sejak beberapa bulan lalu kerana tabiat merokok, kegemukan dan kerja berlebihan, kata laporan Daily NK.
”Saya difahamkan Kim bergelut (dengan masalah kardiovaskular) sejak Ogos lalu dan keadaannya semakin teruk selepas beliau berkali-kali mengunjungi Gunung Paektu,” kata sumber itu.
Kim dimasukkan ke hospital setelah mempengerusikan mesyuarat Parti Pekerja politburo pada 11 April, yang mana Kim kali terakhir dilihat secara terbuka, kata laporan itu. – MalaysiaGazette