KUALA LUMPUR – Di sebalik persekitaran luaran yang mencabar dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) global yang menurun, Malaysia kekal berdaya saing dan berjaya menarik sejumlah RM207.9 bilion bagi pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada tahun 2019.

Ia merupakan peningkatan 1.7% berbanding tahun 2018, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dengan sumbangan 60.4 peratus (RM125.5 bilion), pelaburan domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar daripada
jumlah pelaburan yang diluluskan.

Walaupun FDI mencapai 39.6 peratus (RM82.4 bilion) dari jumlah tersebut, nilai FDI pada tahun 2019 telah meningkat sebanyak 2.9 peratus daripada tahun sebelumnya.

Menurutnya, sektor perkhidmatan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2019.

Pelaburan yang diluluskan untuk sektor ini juga meningkat 11.3 peratus dari tahun 2018, yang mana Amerika Syarikat dengan sejumlah RM26.8 bilion pelaburan, China (RM15.7 bilion) dan Jepun (RM12.1 bilion) menyumbang 66.3 peratus daripada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

Selangor (RM47.8 bilion) mencatatkan pelaburan yang diluluskan tertinggi tahun lalu, diikuti Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion).

Keempat-empat negeri ini menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan untuk 2019.

Azmin berkata, sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM82.7 bilion bagi 2019 dengan bilangan projek perkilangan yang diluluskan meningkat 37% daripada 721 projek pada 2018 kepada 988 projek pada tahun 2019.

FDI menyumbang 65.2 peratus (RM53.9 bilion) daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sementara bakinya iaitu 34.8 peratus (RM28.8 bilion) merupakan pelaburan domestik.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah melaksanakan mekanisme ‘fast-track’ untuk mempercepatkan kelulusan projek. Di dapati bahawa 86.9% projek perkilangan yang diluluskan pada tahun lalu adalah melalui mekanisme ini,” katanya.

Sejajar dengan langkah Malaysia menuju ke arah industri berteknologi canggih, projek-projek berintensifkan modal yang melibatkan teknologi maju dan tenaga kerja mahir menguasai landskap perkilangan.

Ini diwakili oleh 108 projek yang diluluskan dengan pelaburan RM100 juta dan ke atas, dengan peningkatan sebanyak 33.3 peratus lebih tinggi daripada pada tahun 2018.

Pada tahun 2019, sektor perkilangan merupakan penyumbang kedua tertinggi bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu sebanyak 22.3% atau RM316bilion.

Projek perkilangan yang diluluskan tahun lalu bakal mewujudkan pekerjaan baharu untuk lebih 78,000 orang. Dari jumlah tersebut, 35.4 peratus adalah bagi kategori pengurusan,teknikal dan penyeliaan (MTS). Peluang pekerjaan bagi kategori MTS meningkat sebanyak 24 peratus pada 2019.

Secara keseluruhan, projek baharu merangkumi 54.1 peratus dari keseluruhan projek perkilangan yang diluluskan. Pelaburan asing adalah seimbang di antara projek baharu dan pembesaran atau pelbagaian pada tahun 2019.

Tambah Azmin, sektor perkhidmatan terus menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi apabila berjaya menarik 4,087 projek yang diluluskan di sektor perkhidmatan pada tahun 2019 dengan pelaburan sebanyak RM118.1
bilion.

Pelaburan asing dalam sektor ini meningkat sebanyak 53.4 peratus, dari RM16.1 bilion pada 2018 kepada RM24.7 bilion pada tahun 2019

Secara kolektif, lima penyumbang pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM40.9 bilion), utiliti (RM32.6 bilion), pertubuhan global (RM11.8 bilion), perdagangan pengedaran (RM11.7 bilion) dan perkhidmatan sokongan (RM5.7 bilion) mewakili 87.0 peratus atau RM102.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor
perkhidmatan.

Sektor utama mencatatkan pelaburan  sebanyak RM7 bilion pada tahun 2019, berbanding RM10.9 bilion pada tahun 2018.

Subsektor perlombongan menerajui sebahagian besar pelaburan di sektor utama iaitu 94.3 peratus daripada jumlah pelaburan
yang diluluskan di dalam sektor ini.

Baki pelaburan di sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi, dan subsektor pertanian, yang masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM291.4 juta dan RM135.1 juta. – MalaysiaGazette