KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan menahan lima warga Filipina yang menangkap ikan di dua kawasan pelantar minyak di perairan Kota Kinabalu pada Isnin lepas.
Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, dalam operasi khas di pelantar minyak Erb West dan Kebabangan itu, masing-masing pada 11.30 pagi dan lewat malam, lima bot pancing berjaya dipintas anggota bertugas menguatkuasakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memantau aktiviti pencerobohan kawasan pelantar minyak.
Mohd Rosli berkata, bot pancing yang ditahan dikendalikan oleh lima lelaki warga Filipina, seorang pemegang kad IMM13 (warga asing berstatus pelarian) dan empat lagi tidak memiliki apa-apa dokumen pengenalan diri.
“Ketika ditahan mereka sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran APMM. Pelantar minyak menjadi antara kawasan tumpuan bot pancing kerana terdapat pelbagai jenis ikan dan para nelayan boleh mendapat hasil laut menguntungkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, bot dan semua individu terbabit dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan lanjut.
Mohd Rosli berkata, selain disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, kelima-lima individu terbabit juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana ingkar PKP.
“APMM menegaskan para nelayan dilarang menceroboh kawasan pelantar minyak dan melakukan sebarang aktiviti perikanan di kawasan tersebut, kerana boleh mengundang bahaya bukan sahaja kepada para nelayan malahan kepada pekerja di pelantar itu.
“Walaupun tiada sebarang perkara tidak diingini direkodkan berlaku di kawasan pelantar minyak, namun, keselamatan nyawa harus diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata, mana-mana individu didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Rosli turut mengingatkan pengusaha bot nelayan tempatan supaya tidak menggaji warga asing untuk mengendalikan bot mereka tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan kebenaran daripada pihak Jabatan Perlabuhan dan Dermaga Sabah.
Sekiranya ini berlaku pemilik bot terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang, katanya. – Bernama