Petugas Kesihatan SelCare melakukan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu kepada penghantar-penghantar makanan dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 hari ke - 8 susulan penularan wabak Covid-19 di Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak, Selayang, selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2020

SELAYANG – Walaupun kerajaan telah menasihatkan orang ramai  supaya duduk di rumah jika tiada urusan namun masih ada lagi yang degil dan ingkar.

Malah terdapat segelintir masyarakat yang seolah-olah tidak bimbang jika wabak Covid-19 terus merebak di negara ini.

Bimbang dengan situasi tersebut, Dr Rafeah Pakri Mohamed berkata, beliau masih lagi nampak segelintir rakyat tidak memahami atau peduli dengan keadaan yangh melanda negara ketika ini.

Petugas Kesihatan SelCare melakukan ujian saringan Covid-19 secara pandu lalu kepada penghantar-penghantar makanan dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 hari ke – 8 susulan penularan wabak Covid-19 di Pejabat Daerah Dan Tanah Gombak, Selayang, selangor. foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2020

“Pagi tadi bila saya keluar, saya masih nampak lagi kereta masih banyak di jalan. Ada sahaja golongan muda naik motorsikal ke sana ke mari. Bukan saya hendak menuduh, sebaliknya saya ingin nasihat mereka-mereka ini.

“Bantulah kami, bantulah seluruh rakyat di negara ini untuk membendung wabak pandemik ini. Kita masih belum menang lagi, jadi sekiranya tidak ada sebarang keperluan mendesak, janganlah keluar.

“Tolonglah, saya mohon kepada semua,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di lokasi saringan Komuniti Covid-19 di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, Bangunan Sultan Sulaiman, Batu Caves hari ini.

Program saringan anjuran kerajaan Selangor dengan kerjasama anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Selcare yang berkonsepkan pandu lalu memasuki pusingan keenam.

Inisiatif konsep pandu lalu saringan Covid-19 yang diberikan secara percuma itu akan membolehkan lebih ramai orang awam yang mempunyai simptom seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak serta warga emas menjalani ujian saringan.

Menyentuh tentang program itu, Dr Rafeah berkata, pihaknya telah menerima kunjungan lebih 50 orang setakat tengah hari dan jumlahnya mungkin bertambah pada sebelah petang.

“Satu proses yang mungkin makan masa kurang dari lima minit sahaja, dilakukan dengan cermat sekali, yang hadir juga akan diajukan beberapa soalan penting seperti komplikasi penyakit, sejarah perjalanan, juga tahap kesihatan.

“Selalunya proses ini akan mengambil masa antara 24 jam hingga 48 jam, kemudian sesiapa yang positif kita akan hubungi mereka,” ujarnya.

Sementara itu, salah seorang yang menjalani ujian saringan itu, Mohd Hazim Abd Wahid melahirkan rasa penghargaan terhadap inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor itu.

“Jika hendak buat sendiri, kos itu mahal sekali. Ini pula kerajaan tanggung, malah konsep pandu lalu juga begitu efisyen dan bagus. Prosesnya juga cepat dan tidak menyakitkan.

“Inisiatif ini sangat baik dan membantu khasnya golongan yang tidak berkemampuan, terima kasih kepada kerajaan,” katanya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast