KUALA LUMPUR – Malaysia akan memainkan peranan penting dalam memastikan cabaran yang bakal timbul kesan perubahan iklim melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif.
Ia termasuk pengukuhan tadbir urus, penguatkuasaan, pembangunan kerangka undang-undang, semakan semula dasar dan membangunkan pelan tindakan yang bersesuaian.
Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakyat Malaysia disarankan terus prihatin terhadap kepentingan memulihara dan melestarikan alam sekitar.
Menurutnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kualiti alam sekitar khususnya udara dan air sungai bertambah baik.
Oleh itu, kata beliau, cabaran utama ialah selepas PKP kita mesti terus menjaga alam sekitar kerana ia adalah tanggungjawab bersama.
”Ia selaras dengan prinsip Islam yang menyeru manusia agar membangunkan bumi secara adil, seimbang dan makmur,” katanya sempena sambutan ke-50 tahun Hari Bumi pada hari ini.
Hari Bumi telah mula diperkenalkan sejak tahun 1970 sebagai usaha manusia sejagat untuk menghargai bumi, menyemai rasa tanggungjawab dan meningkatkan kesedaran untuk melindungi bumi serta alam sekitar.
Sambutan Hari Bumi pada tahun ini bertemakan “Tindakan Menangani Perubahan Iklim” dengan objektif mengerakkan usaha global bagi mengurangkan impak perubahan iklim akibat daripada aktiviti manusia.
Tuan Ibrahim berkata, walaupun sambutan secara besar-besaran tidak dapat dilaksanakan tahun ini ekoran pandemik Covid-19, namun ia tetap dilaksanakan untuk menzahirkan hasrat kita secara kolektif untuk menghargai bumi.
Menurutnya, kementerian telah menyusun beberapa program dan aktiviti dalam media sosial antaranya webinar khas Hari Bumi, ceramah Cakna Alam, diskusi perubahan iklim, penganjuran pertandingan poster dan video kreatif serta tayangan filem eko di Klefflix.
Diharapkan usaha-usaha ini dapat meningkatkan penghayatan pelbagai lapisan dan mengamalkan gaya hidup hijau, katanya. – MalaysiaGazette