KUALA LUMPUR – Legenda Manchester United, Paul Scholes menyifatkan bintang tengah kelab tersebut, Paul Pogba memiliki segalanya untuk menjadi seorang pemain terbaik di Old Trafford.
Malah Scholes turut melabelkan pemenang Piala Dunia 2018 itu mempunyai banyak persamaan dengan bekas jeneral tengah terbilang Liverpool, Steven Gerrard.
Pogba yang menikmati karier remajanya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu kembali menyertai Manchester United pada musim 2016/17 dengan yuran perpindahan bernilai hampir £90 juta daripada Juventus.
Pernah bergandingan sektika dalam satu pasukan bersama Pogba, Scholes jelas mengagumi kualiti serta melihat sesuatu yang besar mampu dijelmakan oleh pemain tengah berusia 27 tahun itu.
”Saya pernah bermain (sedikit perlawanan) bersama dengan Paul (Pogba) dan semua orang tahu bakat yang dimilikinya.
”Malah dia sangay baik apabila beraksi bersama Juventus, juga begitu cemerlang untuk Perancis untuk (menjulang) Piala Dunia dan sangat bagus apabila kembali di sini [Manchester United].
”Dia boleh melakukan apa sahaja sebagai seorang pemain tengah dan anda mungkin akan menyamakannya dengan Steven Gerrard berdasarkan kepantasan, kekuatan dan kemahiran individu dimilikinya,” ujar Scholes kepada Goal.
Sejak kembali semula beraksi bersama Manchester United, Paul Pogba telah berjaya menjaringkan 24 gol dan 25 bantuan jaringan dalam kempen Liga Perdana Inggeris. – MalaysiaGazette